Nur Fitri Diberi Peluang Kedua

Diterbitkan: Selasa, 5 Mei 2015 12:43 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Nur Fitri Azmeer Nordin yang dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Southwark Crown di London akan diberi peluang meneruskan pengajian sejurus kembali ke tanah air.

Ahli Majlis Mara, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, saranan untuk pelajar berusia 23 tahun itu meneruskan pengajian di mana-mana institusi Mara dalam negara itu sebagai peluang kedua dan tanda sokongan kepadanya.

"Secara peribadi saya selaku ahli majlis Mara setuju jika peluang kedua diberikan kepada pelajar tersebut selepas selesai menerima hukuman.

"Kita akan berikan sokongan dalam pelbagai cara untuk membentuk semula jati dirinya, salah satu dengan memberi peluang untuk dia meneruskan pengajian di mana-mana institusi Mara," katanya kepada mStar Online, di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan susulan Mara berhubung kes Nur Fitri Azmeer yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun bersabit 13 kesalahan memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak.

Bagaimanapun, Mara dalam satu kenyataan mendakwa pelajar itu hanya dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan hukuman itu bermula sejak dia ditahan November tahun lepas sekali gus bermakna pelajar itu hanya perlu berada di penjara selama empat bulan.

Mara memaklumkan berdasarkan perundangan visa dan imigresen di United Kingdom, seseorang yang telah menjalani dua pertiga daripada hukuman penjara boleh dihantar pulang ke negara asalnya.

Tambah Nazir lagi, peluang kedua tersebut bukan khusus ditujukan kepada kes Nur Fitri, malah ia turut membabitkan pelajar cemerlang tajaan Mara yang menerima nasib sama.

Katanya, setiap individu yang melakukan kesilapan serta insaf selepas menerima hukuman wajar diberi peluang kedua terutamanya di kalangan pelajar yang mempunyai kelebihan dan boleh menjadi aset kepada negara.

"Kita lihat laporan daripada pihak penjara bahawa dia berkelakuan baik sehingga tempoh hukumannya dikurangkan, oleh itu wajar untuk kita memberinya sokongan semula.

"Dia pelajar pintar dan sayang apa yang ada pada dirinya yang boleh menjadi aset kepada negara disia-siakan. Apa yang kita lakukan ini bukan kepada dia sahaja tetapi kepada mana-mana pelajar pintar lain yang menerima nasib sama," katanya. 


Tags / Kata Kunci: Nur Fitri Azmeer Nordin , Mara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan