Rakyat Jelata Jadi Saksi Satu Lagi Detik Bersejarah Di Kuala Kangsar

Diterbitkan: Selasa, 5 Mei 2015 3:28 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA KANGSAR: Selepas tiga dekad, Kuala Kangsar yang dikenali sebagai Bandar Diraja sekali lagi menyaksikan detik bersejarah kesinambungan Kesultanan Melayu Perak apabila Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini, Rabu.

Istiadat pertabalan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak XXXV, yang merangkumi enam istiadat utama iaitu Meletak Kerja (Ahad lepas), Tabal Adat, Tabal Pusaka, Menziarah Makam, Menziarah Beting Beras Basah dan Menutup Kerja, menonjolkan keunikan serta kekayaan adat Kesultanan Melayu Perak yang diwarisi sejak 1528.

Kesemua istiadat itu menjadi sesuatu yang istimewa dinantikan segenap lapisan masyarakat, khasnya di Perak, dan sudah pasti keperibadian serta kebijaksanaan Sultan Nazrin Shah dan pasangannya, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, amat disenangi rakyat untuk menerajui legasi pemerintahan negeri.

Pemandangan Istana Iskandariah yang dapat dilihat dari tebing Sungai Perak, Kampung Lembah Sayong di mana istiadat Pertabalan SultanPerak Sultan Nazrin Shah bermula semalam, 3 hingga 17 Mei.

Berkongsi pengalaman menarik, seorang pesara kerajaan Zulkifli Abdul Karim, 56, menceritakan detik bersejarah beliau yang pernah menyaksikan istiadat pertabalan Sultan Azlan Shah sebagai Sultan Perak ke-34.

Zulkifli berkata, ketika berusia 25 tahun, beliau sempat menyaksikan istiadat bersejarah itu termasuk ketika Almarhum Sultan Azlan Shah menaiki 'Balai Gambang' dari Jeti Pasir Salak untuk menziarah makam di sekitar Pasir Salak.

"Istiadat pertabalan bukan selalu berlaku. Pertabalan kali ini mengimbau kembali kenangan terakhir pak cik menyaksikan istiadat itu pada 1985. Pak cik jadi tidak sabar mengambil peluang menyaksikan pertabalan Sultan Perak ke-35 ini," katanya yang berasal dari Kampung Pasir Salak, Teluk Intan kepada Bernama.

Secara peribadi, beliau berkata perwatakan serta ketokohan Sultan Nazrin Shah membuktikan keunggulan konsep Raja Berperlembagaan dan amalan demokrasi yang dipraktik di negara ini.

"Kita dapat ikuti perwatakan baik Tuanku melalui buku-buku dan akhbar yang memaparkan bahawa Sultan Nazrin Shah seorang yang bijak serta berpandangan jauh termasuk cara baginda memberi nasihat kepada rakyat dan (kerajaan) negeri," katanya.

Zulkifli percaya ketokohan Sultan Nazrin Shah mampu membantu baginda menyempurnakan tanggungjawab secara saksama untuk membolehkan peranan Raja diterima baik oleh rakyat.

SultanNazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim serta putera puteri baginda, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya berkenan berangkat ke Pameran Koleksi Gambar, Setem Hari Pertama dan Hikayat Misa Melayu di Dewan Bandaraya Ipoh, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Tamin di Sungai Siput, Meor Harun Meor Othman, 54, berkata istiadat pertabalan dapat mendedahkan generasi muda berkaitan istiadat pertabalan Kesultanan Melayu Perak yang unik.

"Insya-Allah, saya sekeluarga akan mengambil peluang cuti umum ke Kuala Kangsar untuk mengikuti (istiadat) hari pertabalan itu esok," katanya.

Rohana Mohd Eref, 50, dari Taman Koperasi di Tambun, Ipoh pula menyifatkan Sultan Nazrin Shah sebagai contoh terbaik kepada segenap lapisan rakyat jelata khususnya di Perak, terutama dari segi pendidikan.

"Semoga pemerintahan baginda sama seperti, atau lebih baik, daripada ayahanda baginda Almarhum Sultan Azlan Shah. Sifat-sifat baik dan kebijaksanaan baginda menjadi contoh kepada kami (rakyat) di Perak," katanya.

Rohana, yang berasal dari Parit dekat sini, berkata penduduk kampung sekitar Tambun turut teruja menyaksikan detik bersejarah Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV ini.

"Orang kampung mak cik sekarang ini sibuk mengadakan gotong-royong membuat persiapan menyambut keberangkatan tiba Sultan Nazrin Shah bagi 'Istiadat Menziarah Makam'. Baginda akan ziarah Makam Raja Sulong (Marhum Tepus) di kampung mak cik," katanya.

M. Chandran, 42, dari Parit turut melahirkan rasa bangga dengan kesinambungan pemerintahan institusi diraja Perak oleh Sultan Nazrin Shah.

"Istiadat pertabalan Sultan kali ini adalah sesuatu yang baharu bagi saya dan keluarga, kami tidak pernah tahu. Saya juga bawa empat orang anak saya ke pameran diraja di Dewan Bandaran Ipoh supaya mereka memahaminya," katanya.

Beliau berkata Sultan Nazrin Shah seorang Raja yang bijaksana dan sering kali mementingkan aspek keharmonian, keamanan serta perpaduan dalam kalangan rakyat jelata menerusi ucapan baginda.

Perasaan teruja menyaksikan detik bersejarah itu turut dikongsi rakyat negeri Pulau Pinang, Ong Wee Kit, 30, yang menyifatkan keperibadian Sultan Nazrin Shah sememangnya terserlah berdasarkan latar belakang akademik baginda.

"Sultan Nazrin contoh 'Raja muda' yang berpandangan jauh dan berpendidikan tinggi.

"Rakyat Perak bertuah memiliki pemerintah seperti baginda," kata Ong yang kini bercuti di Ipoh bersama seorang rakan dari Jepun.-- Bernama

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan