Tak Perlu Syarat Kepujian Dalam SPM, Cukup Sekadar Fasih BM - Ahli Parlimen

Diterbitkan: Isnin, 4 Mei 2015 7:09 PM

Dewan Rakyat.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Wakil rakyat tidak perlu disyaratkan untul mempunyai kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun cukup sekadar fasih dalam bahasa itu, demikian pandangan ahli parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin berkata, beliau pernah mencadangkan sebelum ini supaya seseorang calon wakil rakyat mesti boleh bertutur dalam BM untuk mewakili rakyatnya dalam perbahasan di Dewan Rakyat dan berkomunikasi dengan para pengundi dengan baik.

"Mereka (wakil rakyat) tidak perlu mendapat kepujian dalam BM.

"Apa yang lebih penting ialah mereka boleh bercakap Bahasa Melayu dan berkomunikasi dengan para pengundi dan menyertai Dewan Rakyat," kata Bung ketika dihubungi The Star pada Isnin.

Bung mempunyai kepujian dalam BM bagi peringkat SPM. 

Pandangan yang sama turut dikongsi oleh Menteri Tugas-tugas Khas negeri Sarawak, Datuk Teo Chee Kang yang berkata, hak memilik wakil rakyat tidak sepatutnya dinafikan hanya kerana mereka tidak mencapai standard tertentu dalam BM.

"Cadangan seperti itu melihat ketidaksamaan di kalangan rakyat Malaysia.

"Jika kepujian dalam BM sebagai keperluan perundangan, separuh daripada rakyat Malaysia mungkin kehilangan haknya untuk bertanding dalam pilihan raya umum.

"Walaupun parti-parti politik mempunyai kebebasan untuk mengenakan syarat dalam pemilihan calon wakil rakyat, tetapi rakyat sendiri yang memutuskan sama ada seseorang itu layak untuk mewakili mereka," kata Teo.

Presiden Parti Liberal Demokratik itu memaklumkan bahawa Bahasa Inggeris bebas digunakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah dan Sarawak mengikut Perintah Dewan Undangan Negeri.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, persoalannya adalah sama ada kepujian dalam SPM peringkat SPM dapat menterjemahkan seseorang itu fasih dalam bahasa itu.

"Cadangan itu memerlukan kajian lebih teliti.

"Saya boleh katakan terdapat ramai orang yang tidak mendapat kepujian tetapi fasih dalam bahasa itu.

"Ramai ahli parlimen yang tidak mendapat kepujian tetapi begitu fasih dalam BM. Saya sendiri tidak mendapat kepujian dalam BM," kata Gobind.

Ahli akademik Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah sebelum ini meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensyaratkan mereka yang mahu menjadi wakil rakyat bagi peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, perlu sekurang-kurangnya mendapat kepujian Bahasa Melayu dalam SPM.

Pada Ahad, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya sedang meneliti cadangan Ridhuan Tee dari segi kesesuaian pelaksanaannya.

Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim turut dilaporkan sebagai berkata bahawa cadangan itu perlu disokong kerana semua pemimpin di negara ini mesti fasih bertutut dalam BM.

Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming bagaimanapun menyifatkan cadangan itu sebagai "tidak berpelembagaan".

"Syarat seperti itu tidak sepatutnya ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Keduanya, Pengerusi SPR memberi respons kepada cadangan Ridhuan Tee.

"Cadangan saya ialah Pengerusi SPR mengkaji Jawatankuasa Terpilih Parlimen Mengenai Pembaharuan Pilihan Raya sebelum beliau mempertimbangkan cadangan tidak berpelembagaan oleh Ridhuan Tee," kata Ong.

Menurut Ong, ramai wakil rakyat seperti beliau sendiri fasih dalam BM walaupun tidak mendapat kepujian dalam mata pelajaran itu di peringkat SPM.

Perkara 47 (b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seorang rakyat Malaysia layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat sekiranya berusia 21 tahun dan ke atas.

Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang yang lebih dikenali sebagai Tian Chua meminta SPR untuk melakukan 'kerja mudah' seperti memastikan daftar pemilih dilakukan secara telus.

"Adakah sampai ke satu tahap SPR yang memilih calon atau parti yang diwakili calon.

"Tugas mereka ialah untuk memastikan daftar pemilih dijalankan secara telus dengan mengeluarkan nama dua pengundi yang sama dan nama pengundi yang sudah meninggal dunia.

"Ini bukan pertama kali ia mencadangkan sesuatu yang tidak wajar dan di luar bidang kuasanya.

"BM memang penting, tetapi bukan tugas SPR untuk menentukan perkara seperti ini," kata Chua.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad turut berpendapat bahawa kepujian dalam BM di peringkat SPM tidak sepatutnya dijadikan sebagai syarat untuk calon kerana ia tidak menjaminkan mereka berkhidmat kepada rakyat dengan baik.

"Biarkan rakyat yang tentukan, rakyat sendiri yang kenal calon, dan mereka tahu apakah keutamaan mereka.

"Seseorang yang fasih dalam BM dan boleh membaca sajak bukanlah seorang wakil rakyat yang baik buat rakyat," tambahnya.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan