PRK Rompin: PAS Cuba Raih Undi Orang Asli Pada Saat-Saat Akhir

Diterbitkan: Isnin, 4 Mei 2015 4:29 PM

(Ubah saiz teks)

MUADZAM SHAH: Kurang 12 jam tempoh berkempen bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin berakhir tepat tengah malam Isnin, PAS yang sebelum ini tertumpu kepada pengundi peneroka FELDA, beralih untuk meraih undi daripada masyarakat Orang Asli.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pada fasa terakhir kempen, PAS akan cuba keluar dari zon peneroka Felda dan mengalihkan fokus kepada masalah yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli.

"Kita ambil peluang terakhir ini untuk mendekati mereka," katanya pada sidang media harian PAS di Markas Induk PRK Parlimen Rompin di sini, Isnin.

Mengulas mengenai keseluruhan kempen, Tuan Ibrahim berkata jentera PAS telah dimanfaatkan semaksimum mungkin sepanjang tempoh berkempen dengan mengadakan ziarah ke semua kawasan di Parlimen Rompin.

"Secara keseluruhan kempen kami berjalan lancar cuma ada satu atau dua rumah sahaja yang tidak membenarkan kami menziarahi mereka di rumah namun tiada sebarang masalah timbul sepanjang tempoh berkempen ini," katanya.

Sebanyak 52,744 pengundi di 38 pusat daerah mengundi PRK Parlimen Rompin yang layak mengundi akan mula menzahirkan sokongan mereka esok.

Sejumlah 464 daripada 545 pengundi awal pula telah mengundi pada Khamis lepas.

PRK Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PAS Nazri Ahmad dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin bagi mengisi kekosongan ekoran kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis pada 4 April lepas.-- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan