Politik Anak-Beranak Dalam PKR Bukan Nepotisme - Izzah

Diterbitkan: Isnin, 4 Mei 2015 8:12 AM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menegaskan budaya 'politik anak-beranak' dalam parti itu membabitkan ahli keluarganya tidak boleh dianggap sebagai amalan nepotisme.

Bagaimanapun anak sulung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mengakui bahawa pembabitannya dalam politik merupakan warisan daripada bapanya yang juga bekas ketua pembangang.

"Saya boleh katakan begini, dalam mana-mana perjuangan memang ada warisannya.

"Sudah pasti kalau kita nak meneruskan perjuangan, tentunya kita mahu anak-anak kita mewarisi idea-idea perjuangan tersebut. Tentunya kita mahu anak-anak kita memahami kenapa pegang kepada prinsip itu," katanya di sini, Ahad.

Selain itu menurut Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, amalan politik warisan yang berlaku dalam PKR tidak seperti yang wujud dalam syarikat yang berasaskan keuntungan.

"Kita tak mewarisi mewarisi syarikat sdn bhd. Contohnya bila ada projek kerajaan, GLC dipilih. Set up syarikat...mari kita letak anak kita, letak adik beradik kita.

"Kita terima dana daripada kerajaan pusat sementara kita pegang jawatan menteri, itu pada saya makna nepotisme," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Forum Anak Muda sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang akan diadakan pada Khamis ini.

Nurul Izzah menjawab soalan moderator forum, Fahmi Zainol berhubung amalan nepotisme yang berlaku dalam PKR hingga menimbulkan pertikaian banyak pihak.

PKR dilihat mengamalkan nepotisme apabila jawatan dalam parti itu hanya membabitkan kedudukan ahli keluarga Anwar iaitu isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden dan kedudukan Nurul Izzah sendiri dalam politik semasa.

Malah Dr Wan Azizah sendiri sudah dua kali ‘menyelamatkan’ kerusi milik pembangkang apabila pernah bertanding dan menang dalam PRK Parlimen Permatang Pauh selama dua penggal dan DUN Kajang.

Terbaharu Dr Wan Azizah sekali lagi bertanding dalam PRK Parlimen Permatang Pauh bagi mempertahankan kerusi milik Anwar itu.

Tags / Kata Kunci: PKR , Permatang Pauh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan