BN P.Pinang Kecewa Kontraktor Dihalang Pasang Papan Tanda, Panji Parti

Diterbitkan: Isnin, 4 Mei 2015 4:24 PM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang kesal dan kecewa dengan tindakan pihak yang menghalang kontraktor mereka menjalankan tugasan bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow mendakwa kontraktor yang dilantik mereka dikepung anggota Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melarang mereka memasang papan tanda BN di beberapa kawasan termasuk Kampung Setul dan bulatan Seberang Jaya.

"PKR jangan ambil undang-undang dalam tangan sendiri ... kontraktor kami  dikepung dan dilarang untuk memasang papan tanda tetapi kami telah mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

"Kami tak halang PKR buat apa jua tetapi mereka halang kontraktor kami. Jadi kami minta pihak polis membantu dalam memastikan keselamatan kontraktor yang tidak ada latar belakang politik," katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Chang Yeow berkata, laporan polis turut dibuat pagi ini kerana banyak papan tanda BN didapati sengaja dirosakkan dan berharap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara itu.

"Kami akui ada angin kencang semalam dan ada yang mengambil kesempatan untuk merosakkan papan tanda BN kerana tinjauan kami mendapati papan itu patah bukan kerana angin tetapi sengaja dicantas," katanya.

Chang Yeow juga mahu penjelasan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang menanggalkan bendera BN di bulatan Seberang Jaya atas alasan ada majlis perasmian di kawasan berkenaan malam ini.

"MPSP perlu beri penjelasan ... kami telah memohon dan mendapat permit (untuk memasang bendera). MPSP tak sepatutnya terlibat dalam kempen berpolitik untuk kerajaan (pakatan pembangkang)," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengedarkan risalah menggunakan logo BN, yang mengutuk calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah.

"Tindakan itu amat jijik kerana ia mengutuk peribadi calon dan ia menyakitkan hati penduduk," katanya sambil menafikan sebarang penglibatan BN dalam risalah itu.

Katanya, BN sejak daripada mula lagi bertekad untuk berkempen secara bersih dan menolak sama sekali apa-apa perkataan yang menyentuh peribadi orang bagi menjatuhkan maruah mereka.

Zainal Abidin berkata kenyataan dalam risalah yang tersebar di kawasan perkampungan Melayu di Permatang Pasir dan Penanti itu adalah cerita yang direka dan disebar untuk meraih simpati.

Berhubung dakwaan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli kononnya BN telah mengadakan kempen rumah ke rumah pada waktu malam untuk memberi rasuah kepada pengundi, Zainal Abidin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu.

Beliau menjelaskan jentera BN mengadakan kempen pada waktu malam kerana ramai antara pengundi tidak berada di rumah pada waktu siang dan sentiasa memastikan kempen itu tamat 10 malam.

"PKR ini seakan-akan terdesak ... sengaja membuat tuduhan untuk mengaburi mata pengundi. Seeloknya mereka membuat laporan polis dan biar ia disiasat dan bukan hanya buat tuduhan tidak berasas," katanya.- Bernama

Tags / Kata Kunci: BN , Pulau Pinang , kontraktor , panji

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan