PRK Pmtg Pauh: 87.6 Peratus Pengundi Awal Keluar Mengundi

Diterbitkan: Ahad, 3 Mei 2015 6:42 PM

Antara pengundi awal (dari kiri) Koperal Rohayu Borhan, Koperal Runani Abd Aziz, Sarjan Azizah Mohamed, Koperal Mazlita Mohd Taib dan Koperal Rahayu Md Saad telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi pada proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah dekat Bandar Perda, Ahad. Foto: BERNAMA

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Setelah dua pusat mengundi awal ditutup pada pukul 5 petang, seramai 549 orang  pengundi keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang diadakan pada Ahad.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah berkenaan membabitkan 87.6 peratus daripada 627 pemilih berdaftar di Parlimen Permatang Pauh.

Proses pengundian awal hari ini membabitkan pemilih terdiri daripada anggota polis serta pasangan masing-masing.

Pengundian awal yang bermula pada pukul 8 pagi tadi diadakan di dua pusat mengundi iaitu Dewan Gemilang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dan Berek Kelamin, Balai Polis Kubang Semang.

PRK Permatang Pauh pada 7 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi Sabudin (Barisan Nasional), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Ia diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.

Tags / Kata Kunci: Pengundian Awal , PRK Permatang Pauh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan