Peserta Perhimpunan Mahu Beri Gambaran Buruk Tentang Malaysia - Ahmad Zahid

Diterbitkan: Sabtu, 2 Mei 2015 6:27 PM

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjulang tangan calon Barisan Nasional (BN) Suhaimi Sabudin bersama anggota-anggota Rela sebagai tanda sokongan kepada calon berkenaan pada Program Bakti Rela di Politeknik Seberang Prai, Sabtu. -foto THE STAR

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Terdapat sekumpulan peserta Perhimpunan Bantah GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) di Kuala Lumpur pada Jumaat melakukan tindakan yang mahu memberi gambaran buruk terhadap Malaysia, seolah-olah Malaysia bukan negara yang aman.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata polis telah mencadangkan supaya perhimpunan itu diadakan di Padang Merbok, tetapi sebahagian peserta terlibat berdegil untuk mengadakan perhimpunan itu di kawasan tumpuan umum.

"Kita telah lakukan pemantauan, pengintipan. Ada terdapat golongan anarkis yang bukan sahaja menyembur cat di premis perniagaan, tetapi mereka juga membaling bahan-bahan yang menyerupai bahan gas berwarna.

"Ini kononnya sebagai tindak balas tindakan yang akan dilakukan polis. Pihak polis tak terperangkap dalam provokasi mereka. Mereka harap adanya 'tear gas', atau 'water cannon' tetapi perkara ini tidak dilakukan. Mereka telah baling perkakasan berkenaan (bahan gas berwarna)," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Bakti Rela Daerah Seberang Perai Tengah di sini Sabtu, beliau berkata masyarakat tidak dapat menerima demonstrasi seperi yang diadakan semalam, kerana walaupun ada Akta Perhimpunan Aman tapi ia bukan alasan untuk membolehkan perhimpunan tanpa kawalan.

"Pemimpin politik hanya berucap, memberi ucapan bersemangat, tetapi puak anarkis ini bertindak keterlaluan. Pihak anarkis ini harus dikenakan tindakan segera. Kami ada gambar-gambar mereka.

"Ada saksi-saksi yang menyaksikan perbuatan mereka. Jangan marah kepada polis dan jangan marah kepada kerajaan jika tindakan diambil terhadap mereka," kata Ahmad Zahid.

Perhimpunan Bantah GST yang diadakan di ibu negara semalam mengakibatkan menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa lokasi penting di sekitar pusat bandar selain mengganggu urusan seharian masyarakat termasuk pelancong.

Peserta mula berkumpul di sekitar pusat beli-belah Sogo, Masjid Negara, Masjid Jamek, Dataran Maybank, Pasar Seni dan Puduraya sebelum bergerak ke Dataran Merdeka dan KLCC.

Ada peserta perhimpunan yang merempuh penghadang yang diletakkan pasukan keselamatan di Dataran Merdeka, selain terdapat peserta yang melemparkan bom asap ke arah pintu kaca sebuah bank di kawasan Masjid Jamek.

Ada juga peserta yang berpakaian hitam mencetuskan kekecohan dengan melempar mercun bola dan mengeluarkan kata-kata kesat tetapi polis berjaya mengawal keadaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan