60 Anggota IS Ingin Pulang Ke Malaysia Akan Dikenakan Tindakan

Diterbitkan: Jumaat, 1 Mei 2015 6:38 PM

(Ubah saiz teks)

ROMPIN: Lebih 60 anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) warga Malaysia di Syria yang kesal dengan tindakan mereka dan mahu pulang ke tanah air, akan tetap dikenakan tindakan undang-undang.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana kerajaan khuatir kumpulan tersebut akan mencetuskan kekacauan di dalam negara.

"Mereka menyampaikan mesej untuk pulang... boleh pulang, tapi mereka harus menghadapi tindakan undang-undang," katanya pada sidang media selepas program Bakti Rela di sini, Jumaat.

Menurut beliau, setakat ini seramai 120 individu yang ada kaitan dengan IS ditahan kerana merancang untuk melakukan keganasan di dalam negara.

Katanya, kira-kira 75 individu lagi telah pergi ke Syria atau Iraq manakala 10 meninggal dunia kononnya kerana berjihad.

Justeru itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata, kerajaan meluluskan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) pada April lalu demi kepentingan rakyat dan negara.

"Undang-undang POTA dibentang di Parlimen dan dibahaskan dalam masa lebih 12 jam. Akhirnya ia diluluskan ketika anda sedang tidur dengan nyenyak.

"Kita bersengkang mata demi mempertahankan negara dan memastikan keselamatan rakyat terjamin," katanya.

Pada Khamis, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay mendedahkan anggota kumpulan itu cuba menghubungi polis untuk membantu mereka pulang ke tanah air selepas menyedari mereka sekadar menyertai perjuangan jihad palsu yang sia-sia.

Malah, kata Ayub Khan, kelompok kumpulan itu yang cuba menghubungi pihaknya itu turut meluahkan kekesalan selepas mendapati apa yang berlaku di Syria tidak seperti yang dijangka.

Tags / Kata Kunci: IS , Rompin , Syria

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan