Cuti Tanpa Rekod Penjawat Awam Bagi Urusan Kematian Diperluas - Berita Semasa | mStar

Cuti Tanpa Rekod Penjawat Awam Bagi Urusan Kematian Diperluas

Diterbitkan: Jumaat, 1 Mei 2015 2:03 PM

Sebahagian daripada kira-kira 10,000 para pekerja melafazkan ikrar ketika menghadiri sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2015 di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching pada Jumaat. Foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Kemudahan cuti tiga hari buat penjawat awam bagi urusan kematian anggota keluarga terdekat merangkumi suami atau isteri, anak serta ibu dan bapa kandung, diperluaskan kepada ibu dan bapa mentua, ibu dan bapa angkat serta anak angkat yang sah di sisi undang-undang. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kemudahan itu yang berkuat kuasa 1 Julai, adalah antara inisiatif kerajaan dalam menambah baik pelaksanaan kemudahan Cuti Tanpa Rekod buat kakitangan kerajaan.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga memutuskan agar Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meneruskan program saringan kesihatan percuma bagi pekerja sektor swasta yang berumur 40 tahun, dengan menyediakan perkhidmatan bergerak bagi membolehkan pemeriksaan saringan kesihatan diadakan di premis majikan.

Perdana Menteri mengumumkan demikian semasa berucap pada majlis sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini yang dihadiri kira-kira kira-kira 10,000 orang.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot; anggota Kabinet persekutuan dan negeri, di samping Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.

Najib seterusnya mencadangkan supaya Perkeso memperluaskan liputan perlindungan keselamatan sosialnya kepada semua pekerja tempatan dalam sektor swasta tanpa mengira had gaji, dengan siling caruman pekerja yang diinsuranskan ditingkatkan daripada RM3,000 kepada RM4,000. 

Perkeso telah melaksanakan program saringan kesihatan percuma bagi pekerja sektor swasta yang berumur 40 tahun dan ke atas sejak 2011.

Pada masa ini, liputan skim keselamatan sosial Perkeso dihadkan kepada pekerja yang bergaji RM3,000 dan ke bawah.

Cadangan ini dijangka memberi manfaat langsung dalam bentuk nilai faedah yang lebih tinggi perlindungan Perkeso kepada tambahan kira-kira 500,000 orang pekerja, daripada 6 juta kepada 6.5 juta orang pekerja.

Semua pekerja dalam sektor swasta akan layak menikmati faedah perlindungan Perkeso secara automatik.

Tags / Kata Kunci: Najib Tun Razak
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan