Jawatankuasa Kabinet GST Perlu Untuk Koordinasi Agensi Penguatkuasa - Irmohizam

Diterbitkan: Jumaat, 1 Mei 2015 2:55 PM

Irmohizam Ibrahim.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) wajar diwujudkan bagi memastikan koordinasi antara pelaksanaan dan penguatkuasaan CBP antara kementerian dan agensi secara bersepadu dapat digerakkan.

Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan beberapa agensi lain juga wajar dipertimbangkan untuk menganggotainya.

"Ini kerana berlaku persepsi negatif rakyat menyatakan seakan-akan wujud ketidakseragaman pelaksanaan serta kaedah penguatkuasaan GST, sebagai contoh isu kad tambah nilai prabayar di antara SKMM dan jabatan Kastam. 

"SKMM seakan-akan mempermainkan emosi pengguna kepada kerajaan. Sepatutnya sebarang kenyataan perlu berhati-hati kerana ia boleh menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Irmohizam yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor berkata, pihaknya menerima banyak aduan terutamanya daripada generasi muda berhubung kenyataan SKMM yang menegaskan kad tambah nilai prabayar telefon bimbit akan terus dijual dengan penambahan enam peratus GST.

"(Secara tidak langsung) segala masalah ini seakan-akan ditujukan terus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, walhal sepatutnya agensi perlu bersama-sama beliau mendengar denyut nadi rakyat bagi mewujudkan kepuasan rakyat apabila GST diluluskan di Parlimen setahun lalu," katanya.

Rabu lepas, JKDM meminta semua pembekal perkhidmatan mengekalkan harga asal kad pra­ba­yar mereka berdasarkan kepada konsep 'tax inclusive' (termasuk cukai), berkuat kuasa Jumaat (1 Mei).

Pada hari yang sama, Pengerusi SKMM, Datuk Seri Dr Halim Shafie dalam satu kenyataan pula berkata, isian semula telefon prabayar akan terus dijual dengan dikenakan GST.

Pada Khamis, JKDM membuat kenyataan menangguhkan arahan kepada syarikat telekomunikasi untuk mengekalkan harga asal perkhidmatan kad prabayar yang dijadualkan berkuat kuasa Jumaat.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, ia selaras dengan pengumuman SKMM bahawa kajian mengenai layanan GST ke atas perkhidmatan kad prabayar masih dijalankan oleh syarikat telekomunikasi.

"Pada kesempatan sambutan Hari Pekerja 2015 diharapkan agar harapan baharu dapat diterjemahkan agar pelaksanaan GST tidak menjadi bahan polemik dan jenaka rakyat kepada kerajaan," kata Irmohizam.

Katanya, Akta GST yang diluluskan oleh kerajaan harus menjadi dokumen penting sebagai landasan atas kejayaan dasar GST yang diperkenalkan.

Justeru, katanya, satu jawatankuasa Pemantau CBP yang diketuai oleh badan bebas wajar ditubuhkan bagi melihat sebarang kelemahan atau penambahbaikan dari segi khidmat pelanggan dan aduan supaya rakyat boleh menyalurkan maklumat dengan lebih mudah.

Tags / Kata Kunci: GST , Irmohizam Ibrahim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan