Mustahil Laksana Harga Asal Kad Prabayar Pada 1 Mei - Ahmad Shabery

Diterbitkan: Khamis, 30 April 2015 7:26 PM

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

(Ubah saiz teks)

PULAU TIOMAN: Pelaksanaan harga asal kad prabayar mustahil dilaksanakan mulai Jumaat kerana ia melibatkan isu teknikal, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata syarikat telekomunikasi perlu membuat konfigurasi terhadap sistem dan perisian komputer di seluruh negara yang akan mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan.

"Bayaran kad prabayar ini juga melibatkan pembayaran melalui bank serta pembayaran secara elektronik selain ia melibatkan seramai 30,000 ejen seluruh negara ... perubahan perisian dan sistem perlu dilakukan bagi memastikan ia berjalan dengan lancar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M)di Kampung Tekek di sini, Khamis.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Anggota Dewan Undangan Negeri Tioman Datuk Mohd Johari Hussain.
Pusat internet berkenaan merupakan pusat kelapan dibangunkan di daerah Rompin selain di bandar Muadzam Shah, Felda Selancar 5, Felda Keratong 10, Felda Keratong 2 dan Kampung Pianggu.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad sebelum ini dilaporkan mengumumkan harga kad prabayar kembali kepada harga asal seperti sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) berdasarkan kepada konsep 'termasuk cukai', mulai 1 Mei.


Ini bermakna, jika kad prabayar itu bernilai RM10 maka pengguna akan membayar RM10 mulai 1 Mei tanpa CPB enam peratus, katanya.


Ahmad Shabery berkata pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kastam Diraja Malaysia sebelum ini telah mencapai persetujuan melaksanakan satu kajian bagi mendapatkan maklum balas daripada pengguna berhubung pelaksanaan CBP pada kad prabayar.


"Sebagai contoh, jika pengguna membeli kad prabayar berjumlah RM10, kita ingin melihat sama ada pengguna selesa dengan bayaran 60 sen bagi enam peratus CBP atau mereka ingin membeli pada kadar RM10 tetapi hanya diberikan kredit masa berbual RM9.43," katanya.


Beliau berkata kajian itu sepatutnya selesai pada minggu ini dan akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet akan datang.

Bagaimanapun katanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersedia melaksanakan harga kad prabayar berdasarkan konsep 'tax inclusive' itu secepat mungkin sekiranya pihak kastam mempunyai kaedah tertentu bagi mengatasi masalah teknikal berkenaan.


Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata kad prabayar pada masa ini tetap dikenakan CBP kerana belum terdapat peraturan yang mengecualikannya.


"Saya bimbang timbul kekeliruan dalam kalangan rakyat bahawa kad prabayar tidak dikenakan CBP, ini tidak boleh dibuat kerana ia tidak diumumkan sebagai barangan 'zero rated/ dan saya difahamkan ia tidak akan berlaku," katanya.


Sementara itu, Ahmad Shabery berkata lebih 96 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara telah mendapat liputan 2G sementara lebih 80 peratus kawasan dapat menikmati kemudahan 3G selain 32 kawasan khususnya di bandar telah mendapat perkhidmatan 4G.

Katanya kerajaan Barisan Nasional (BN) akan sentiasa berusaha meningkatkan capaian internet rakyat dengan menyediakan infrastruktur telekomunikasi di seluruh kawasan berpenduduk.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan