PRK Rompin: Saingan BN, PAS Senada, Namun Calon & Isu Semasa Jadi Penentu

Diterbitkan: Rabu, 29 April 2015 10:08 AM

Nazri dan Hasan pada hari penamaan calon 22 April lalu. Mereka bakal bersaing satu lawan satu pada PRK Parlimen Rompin pada 5 Mei ini.

(Ubah saiz teks)

Analisis mStar

HARI ini genap hari seminggu perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, namun bahangnya masih belum dirasai.

Apakah masih terlalu awal untuk parti bertanding menunjukkan taring masing-masing?

Suramnya kempen di Rompin ini meletakkan ia antara PRK yang dianggap paling bersih kerana bebas daripada sebarang provokasi melampau.

Berbeza dengan PRK lain, kempen di Rompin juga agak sederhana, tiada perang poster daripada Barisan Nasional (BN) mahupun PAS.

Yang ada hanyalah bendera parti dan gambar calon yang mewarnai kawasan sekitar bandar Rompin dan jalan keluar menghala ke Muadzam Shah.

Sepanjang pemanduan dari bandar Rompin menuju ke Muadzam Shah, lokasi pusat operasi BN dan PAS, bendera kedua-dua parti itu dipacak di tepi-tepi jalan, persimpangan jalan dan beberapa mercu tanda di daerah ini.

Jika bendera BN dipacak di sebelah kiri jalan, anda akan dapat lihat bendera PAS di kanan jalan. Boleh dikatakan tiada unsur sabotaj bahan kempen sesama parti.

Jelas setiap ahli kedua-dua parti dilihat lebih bertolak-ansur antara satu sama lain dan tidak begitu agresif dari segi kepartian.

Sikap tersebut membuktikan ahli-ahli BN mahupun PAS saling menghormati kekuatan calon masing-masing yang kini berdepan saingan satu lawan satu.

YAKIN MENANG

Pada pusingan awal ini calon BN, Datuk Hasan Arifin yang popular dikalangan penduduk Rompin diyakini dapat membantu parti itu mengekalkan kerusi yang disandang Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis atau lebih mesra disapa JJ sejak enam penggal lalu.

Walaupun dikatakan calon 'kitar semula', pemimpin BN yakin Hasan berupaya menambah majoriti 15,144 undi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), dua tahun lalu.

Keyakinan itu berdasarkan pengalaman Hasan yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tioman dan Bukit Ibam serta Timbalan Menteri Besar Pahang sebelum ini.

Bagi BN, calon yang layak sudah ada cuma hanya mengharapkan bantuan jentera kempen untuk menyakinkan rakyat mengenai kewibawaan Hasan untuk mewakili penduduk sekitar Rompin.

Dengan status sebagai anak tempatan di daerah yang terkenal dengan hasil udang galah, beliau dilihat dapat membawa beberapa perubahan dari segi pembangunan sosio-ekonomi di Rompin, sekali gus membuatkan pemimpin Umno sejak 1976 itu sentiasa diingati masyarakat.

Bila sebut sahaja nama Hasan, rata-rata penduduk di Rompin mengenali beliau.

PIKAT UNDI ORANG MUDA

Berbeza dengan BN, apabila PAS mengambil risiko mempertaruhkan calon muda, Nazri Ahmad, 40, dalam usaha untuk memenangi hati generasi muda terutamanya generasi kedua tanah rancangan Felda.

Menyedari kira-kira 70 peratus kumpulan peneroka daripada 14 tanah rancangan Felda di Rompin layak mengundi pada kali ini, pencalonan Nazri dilihat memberi kelebihan kepada parti itu.

Ini kerana Ketua Pemuda PAS Pahang itu merupakan anak kelahiran Felda Keratong 5, Muadzam Shah.

Walaupun pertama kalinya dicalonkan,  PAS yakin latar belakang pendidikan dan ilmu agamanya membolehkan Nazri diterima rakyat khususnya pengundi Islam.

Pemimpin PAS juga berpendapat tidak mustahil Nazri mampu mencipta kejutan pada PRK kali ini berikutan bantahan orang ramai terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan juga isu Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVH).

Perkara sama turut berlaku di Selangor, dimana suatu ketika dahulu Shah Alam, salah sebuah kubu kuat BN berjaya dirampas PAS pada 2008 dengan majoriti 9,314 undi.

Kawasan tersebut kekal milik PAS pada PRU-13 apabila Khalid Abdul Samad berjaya menewaskan Datuk Zulkifli Noordin dengan majoriti 49,009 undi.

PELUANG 50:50

Di atas kertas, BN menjadi calon favourite untuk memenangi PRK Rompin, tetapi beberapa isu yang dibangkitkan PAS menerusi kempennya menjadikan peluang turut terbuka kepada parti Islam itu.

Berdasarkan tinjauan mStar Online di beberapa tanah rancangan Felda di daerah ini, isu membabitkan peneroka yang menjadi senjata utama PAS untuk menyerang BN mulai mempengaruhi penduduk tempatan yang mula mencongak untuk melakukan perubahan.

Realitinya, pelaksanaan GST juga menyebabkan penduduk kampung sekitar Rompin ini mengeluh kerana ia dianggap membebankan, lebih-lebih lagi ketika kos sara hidup semakin meningkat.

Jadi melihatkan senario semasa ini, PAS juga memiliki kelebihan, tetapi BN pastinya sudah mengatur strategi untuk mengekalkan sokongan pengundi sedia ada.

BN menggunakan kemelut dalaman pakatan pembangkang yang tidak sepakat dalam isu hudud untuk menggambarkan wujud perpecahan antara ketiga-tiga parti itu.

Bagi menjamin legasi JJ bersama BN tidak terus lenyap di Rompin, nama-nama besar dalam Umno turut turun padang untuk membantu kempen Hasan, selain memberi penjelasan demi penjelasan mengenai sistem GST dan isu Felda yang ditimbulkan PAS.

Malah, bagi calon BN itu sendiri setakat ini lebih 60 peratus kawasan Parlimen Rompin yang meliputi perkampungan tradisional, penempatan Orang Asli dan tanah rancangan Felda telah dilawati Hasan sejak enam hari lalu.

Jika ditanya pandangan kedua-dua calon bertanding berhubung penerimaan pengundi ketika berkempen dari rumah ke rumah, baik Hasan mahupun Nazri melahirkan rasa berpuas hati.

Masing-masing mendakwa menerima sokongan positif di setiap kawasan yang mereka kunjungi untuk sesi suai kenal dan pada masa sama mendengar permasalahan rakyat.

Yang pasti, kukuhnya BN sejak bertapak di Rompin selama enam penggal tentunya suatu cabaran buat PAS, setidak-tidaknya dapat menilai keupayaan parti itu.

Apakah pengundi lebih mengutamakan calon, parti atau hanya akan memilih pihak yang tampil penuh yakin dan menyuarakan janji-janji untuk menjamin masa depan lebih gemilang?

Kita tunggu bagaimana kesudahannya, sama ada Hasan diberi mandat mengemudi Rompin atau Nazri mampu tumbangkan kubu kuat BN, semuanya bergantung kepada pendekatan kempen yang berbaki enam hari lagi sebelum 5 Mei nanti.




Tags / Kata Kunci: PRK Rompin , Hasan Ariffin , Nazri Ahmad

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan