Muhyiddin Persoal Tindakan Wan Azizah Mahu 'Lepas Tangan' Urus DUN Kajang

Diterbitkan: Selasa, 28 April 2015 3:39 PM

Muhyiddin bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam dan calon Barisan Nasional (BN) Suhaimi Sabudin menghidangkan makanan kepada orang ramai semasa menghadiri majlis pelancaran Projek Naik Taraf Hospital Seberang Jaya, Selasa.

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Keikhlasan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dipersoal apabila beliau mahu 'lepas tangan' dengan menyerahkan tugas menguruskan kebajikan rakyat di kawasan itu kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Presiden PKR itu seharusnya melaksanakan janji menyelesaikan masalah penduduk di Kajang terlebih dahulu sebelum menabur janji baharu untuk rakyat di Permatang Pauh.

"Beliau kata (DUN Kajang) akan diuruskan oleh Menteri Besar Selangor, kalau begitu tak payah la bertanding di sana (dahulu). Letak sahaja Azmin jaga kawasan itu, tak perlu jadi wakil rakyat.

"Ini tanggungjawab, saya pergi kempen hari itu di Kajang, beliau kata ini 'Kajang Move' nak jaga masalah rakyat, nak menyelesaikan masalah banjir dan sebagainya.

"Jadi kalau kerja di sana tak selesai, kemudian bertanding di sini, itu hak dia dan kita tak boleh sekat. Cuma kalau penduduk di sini tanya, apakah Wan Azizah akan menumpukan masa yang lebih untuk menyelesaikan masalah rakyat di sini, dia akan kata 'ya'. Tapi ya ke betul?" soalnya pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan projek menaik taraf Hospital Seberang Jaya di sini.

Awal hari ini mStar Online melaporkan bahawa Dr Wan Azizah yang menjadi calon PRK Permatang Pauh memberi jaminan mampu menguruskan dua kawasan di negeri berbeza jika menang pada 7 Mei ini.

Menurut Dr Wan Azizah, sebagai Presiden PKR beliau akan meminta Azmin yang juga timbalannya menguruskan kebajikan rakyat di Kajang jika dipilih sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Selain itu, menurut Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), calon parti itu diyakini mampu berkhidmat secara sepenuh masa untuk rakyat tempatan.

"Wan Azizah mungkin tak akan ada masa yang cukup nak uruskan (Permatang Pauh) sedangkan kalau Suhaimi (menang) di sini, saya dah kata awak (Suhaimi) duduk di sini sepenuh masa.

"Rumah pun dalam kawasan. Pastinya dengan jumlah pengundi lebih 71,000 ia memerlukan wakil rakyat Parlimen sepenuh masa, yang boleh memberikan perhatian dan tumpuan.

"Itu saya fikir jauh lebih baik daripada Wan Azizah yang tak ada masa langsung," katanya.

Selain itu, Muhyiddin yang juga Pengarah Utama PRK Permatang Pauh berkata, rakyat Permatang Pauh perlu memilih wakil rakyat yang mampu melaksanakan tugas sebaik mungkin.

"Kita tahu rekod yang ada di Kajang, beliau (Dr Wan Azizah) tak turun ke bawah pun. Menang, tapi tak jalankan tugas.

"Saya sekadar nak bertanya dan serah kepada penduduk di Permatang Pauh yang mana lebih sesuai. Yang mana lebih berkesan dalam menyelesaikan masalah penduduk.

"Saya yakin calon BN adalah lebih sesuai untuk tujuan itu," katanya.






iklan

Kolumnis

iklan

Iklan