Pemuda PAS P.Pinang Boleh Dikenakan Tindakan - Mat Sabu

Diterbitkan: Selasa, 28 April 2015 10:16 AM

Mohamad Sabu

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tindakan boleh diambil terhadap mana-mana anggota, termasuk Pemuda PAS Pulau Pinang kerana menolak arahan yang dibuat oleh jawatankuasa pusat parti itu, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Beliau berkata, keputusan untuk menyokong calon PKR di Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah dibuat pada mesyuarat jawatankuasa pusat parti.

Pemimpin PAS yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu berkata, isu PAS tidak menyokong calon PKR tidak timbul kerana parti itu telah mengambil pendirian untuk menyokong sepenuhnya mana-mana calon yang dipilih oleh PKR.

"Jika kita mendapati mana-mana ahli yang melanggar arahan parti, tindakan boleh diambil.

"Setakat ini tidak ada laporan lagi, tetapi kita akan tunggu mesyuarat bulanan untuk periksa jika terdapat sebarang laporan terhadap Pemuda PAS Pulau Pinang," katanya.

Pada Ahad, Pemuda PAS Pulau Pinang mengumumkan menarik balik sokongan untuk PKR di Permatang Pauh.

Ketua Pemudanya, Yusni Mat Piah berkata, langkah itu diambil  selepas PKR gagal meminta maaf sebelum tarikh akhir ditetapkan pada Sabtu kerana menentang rancangan hudud PAS.

Yusni berkata, jentera pilihan raya Pemuda PAS diberitahu untuk "berehat" sepanjang tempoh berkempen.

Beliau berkata, mereka kecewa dengan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang Pemuda dan pemimpin-pemimpin PAS tertentu dalam menangani isu itu.

Sebelum ini Mat Sabu mendakwa pertikaian antara PAS dan PKR mengenai pelan hudud telah diselesaikan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan