Boikot PKR: Hadi Perlu Campur Tangan

Diterbitkan: Selasa, 28 April 2015 6:18 PM

Abdul Hadi Awang

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Abdul Hadi Awang diminta campur tangan dan menyelesaikan isu Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang memboikot kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin berkata, beliau yakin hanya Hadi mampu menangani tindakan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah yang disifatkan kebudak-budakan dan tidak matang.

“Memandangkan Mohd Yusni dengan secara tidak wajar mengheret nama dan imej Presiden PAS bagi menjustifikasi sikap, pendirian dan keputusan beliau, maka elok juga jika Presiden Pas dapat turun ke Pulau Pinang dan menasihati mereka supaya menarik balik tindakan memboikot tersebut yang secara jelas memburukkan imej PAS.

"Jika sekalipun Presiden PAS sibuk dan mungkin tidak berkesempatan turut sama berkempen di Permatang Pauh, maka saya percaya kenyataan rasmi beliau meminta Pemuda PAS negeri untuk menarik balik keputusan boikot tersebut akan menyelesaikan kemelut yang tidak sepatutnya timbul ini,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Selain itu, menurut Ahli Parlimen Sepang berkenaan, Hadi perlu menyelesaikan isu berkenaan apabila Mohd Yusni mengeluarkan kenyataan untuk hanya patuh kepada arahan Presiden PAS.

"Berkemungkinan Mohd Yusni silap memahami kenyataan Presiden PAS yang menyatakan perlunya PAS mengambil kira suara "grass root " PAS yang bagi beliau seolah-olah memberi mereka lesen besar untuk memboikot kempen pilihanraya kecil tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Hanipa turut membidas Mohd Yusni kerana memilih untuk tidak melayan dan enggan menghormati arahan sama ada daripada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat.

Pada Ahad lalu, Mohd Yusni mengarahkan supaya membekukan jentera dan aset Pemuda PAS Pinang daripada terlibat dalam semua gerak kerja PRK Permatang Pauh.

Arahan boikot itu dibuat selepas permohonan maaf mereka berhubung dakwaan menghina Hadi oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak dilayan.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan