GTP: Program Berimpak Tinggi Jadi Keutamaan Kerajaan

Diterbitkan: Selasa, 28 April 2015 9:27 PM

Kedai Rakyat 1Malaysia antara salah satu program Kos Sara Hidup Rakyat.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kedayatahanan rakyat dalam menghadapipelbagai cabaran pada masa kini terus menjadi keutamaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha memastikan setiap rakyat menikmati kualiti kehidupan lebih baik dalam segenap aspek. 

Menyedari Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilaksanakan sejak 2010 mampu memacu meningkatkan kualiti umum kehidupan, kerajaan terus komited merencana program berimpak tinggi bagi meningkatkan tahap sosio-ekonomi Malaysia. 

Lapan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dilancar dan dilaksanakan bagi mencapai matlamat tersebut iaitu menangani kos sara hidup; mempertingkatkan pembangunan luar bandar; mempertingkatkan pengangkutan awam bandar;mempertingkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah; pendidikan berkualiti; mengurangkan jenayah; membanteras rasuah dan transformasi penyampaian perkhidmatan awam.

KEBERHASILAN POSITIF

GTP, yang berpaksikan rakyat adalah kayu pengukur kepada matlamat dan janjiyang dicanang kerajaan, umumnya mencapai keberhasilan positif dalam kesemua NKRAyang dilaksanakan sejak lima tahun lepas. 

Dalam usaha memastikan jurang ketidaksamaan sosio-ekonomi antara bandar danluar bandar dapat ditangani secara holistik, GTP dilaksanakan bagi menyediakan rakyat kepada akses perkhidmatan awam yang lebih baik kepada rakyat.

Selain itu,kebolehcapaian kemudahan sosial dipertingkatkan seperti kesalinghubungan jalanraya, bekalan air bersih dan bekalan elektrik. 

Bagi 2014, kerajaan mencapai keberhasilan memberangsangkan dengan peratusan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) setiap kementerian mencapai sasaran 100 peratus dalam NKRA yang ditetapkan.

Penerimaan segenap lapisan masyarakat dilihat positif. 

Menangani Kos Sara Hidup Rakyat (NKRA COL) seperti program Bantuan Rakyat1 Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan untuk murid sekolah, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Klinik 1Malaysia (K1M) akan terus menjadi keutamaan kerajaan. 

BR1M misalnya, menyaksikan seramai tujuh juta isi rumah dan individu bujang memperoleh manfaat daripada pelaksanaannya yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM3.6 bilion berbanding RM2.9 bilion yang diperuntukkan sebelum ini. 

KEMUDAHAN DIPERTINGKAT

Bagi memastikan kesihatan rakyat terjaga, 307 Klinik 1Malaysia (K1M) diwujudkan sehingga akhir tahun lepas, dimanfaatkan 15.8 juta rakyat berbanding 9.2 juta rakyat sebelum ini. 

Begitu juga dengan soal kualiti pendidikan di semua peringkat daripada prasekolah sehingga pendidikan tinggi yang akan terus ditingkatkan bagi memenuhi matlamat negara menjadi hab pendidikan dunia.

Pada 2014, sebanyak 128 buahsekolah menerima menerima status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). 

Dalam soal pengangkutan awam, projek Transit Aliran Masss (MRT) dilihat sebagai satu pelengkap kepada kesaling hubungan perkhidmatan pengangkutan awam yang efisyen dan mampan selain mesra pengguna, menyokong kemudahan awam lain seperti KL Monorail, Transit Aliran Ringan (LRT), KTM Komuter, bas RapidKL dan GO-KL di samping mewujudkan 2,407 ruang letak kereta untuk kemudahan parkir kenderaan 'park n ride' di stesen-stesen rel utama.

Satu tinjauan, yang dilakukan pada November 2014, menunjukkan bahawa tahap kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan pengangkutan awam meningkat kepada 86 peratus tahun lepas daripada 71 peratus pada 2013, sekali gus meningkatkan jumlah pengguna. 

Kadar jenayah yang menjadi perbahasan terbuka di kalangan rakyat pula mencatatkan penurunan.

Tahun 2014 menyaksikan sejumlah 147,171 kes jenayah dihadapkan ke muka pengadilan. Tahun lepas, Jenayah Indeks berjaya diturunkan 12.6 peratus hasil usaha pencegahan jenayah kumulatif yang dilaksanakan sejak NKRA Mengurangkan Jenayah dilancarkan pada 2009.   

Usaha pencegahan jenayah juga tertumpu kepada kejadian kes curi kereta, dimana kes berkenaan menurun kepada 13,407 kes berbanding 16,733 kes dicatatkan pada 2013.

SISTEM PENYAMPAIAN LEBIH BERKESAN

Maklum balas orang ramai terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam amat penting bagi kerajaan mempergiat usaha penambahbaikannya. 

Mengambil contoh aspek penjagaan kesihatan di klinik ortopedik di Hospital Sultan Ismail, Johor, purata waktu menunggu pesakit untuk berjumpa doktor kini lebih cepat, iaitu daripada 115 minit sebelum ini kepada 62 minit, yang sudah tentu dapat menjimatkan masa pesakit, selain boleh meningkatkan bilangan pesakit untuk mendapatkan rawatan. 

Pembangunan luar bandar juga antara aspek yang diberi perhatian serius oleh kerajaan untuk memastikan penduduk luar bandar memperoleh akses yang hampir sama dengan penduduk bandar seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, rumah dan penembusan jalur lebar selain mampu merancakkan lagi ekonomi setempat. 

GTP turut berjaya membasmi kemiskinan tegar menerusi satu daripada programbantuan utama iaitu program Akhiri Zaman Miskin (1AZAM) yang bertujuan mempertingkatkan pendapatan isi rumah golongan berpendapatan rendah. 

Dalam tempoh empat tahun lepas, sejumlah 168,483 rakyat Malaysia berdaftar dengan E-kasih, keluar daripada kepompong kemiskinan susulan peningkatan dalam pendapatan. 

E-Kasih adalah sistem pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan diperingkat nasional bagi membantu merancang, melaksanakan dan memantau program kemiskinan.

Yang nyata, GTP bukanlah suatu program 'kosong atau retorik' yang dilaksanakan kerajaan tanpa hala tuju yang jelas, sebaliknya ia kini membuahkan hasil yang baik selain memenuhi harapan dan impian keseluruhan rakyat selain kearah mempersiapkan negara menuju negara maju pada 2020.-BERNAMA

Tags / Kata Kunci: GTP , Program berimpak tinggi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan