GTP: Usaha Tambah Baik Khidmat Pengangkutan Awam Tingkat Kepuasan, Jumlah Pengguna

Diterbitkan: Selasa, 28 April 2015 9:10 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Usaha berterusan kerajaan untuk Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (UTP NKRA) sejak dilancarkan pada 2010 kini membuahkan hasil apabila ramai berpuas hati dengan tahap perkhidmatan pengangkutan awam sekali gus meningkatkan jumlah pengguna.

Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2014 yang baharu diterbitkan, satu tinjauan pada November 2014 menunjukkan bahawa tahap kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan pengangkutan awam telah meningkat daripada 71 peratus pada 2013 kepada 86 peratus (2014).

Sementara itu, bilangan pengguna meningkat kepada 455,728 penumpang pada waktu puncak berbanding 437,525 penumpang pada tahun sebelumnya.

Peningkatan tahap kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan pengangkutan awam dan peningkatan jumlah penggunanya adalah susulan beberapa faktor penambahbaikan yang diperkenalkan seperti meningkatkan standard perkhidmatan rel, teksi dan bas, dan menambah baik rangkaian terminal bersepadu.

Bagi menggalakkan lebih ramai orang awam mengguna pengangkutan awam, kerajaan juga terus fokus kepada penambahbaikan kemudahan kepada pengguna seperti membina lebih banyak kompleks 'Park n Ride' di stesen-stesen rel utama, serta meneruskan inisiatif bas Bandar GO-KL secara percuma.

Di bawah GTP, kerajaan memperlihatkan tiga aliran kerja iaitu membangunkan rangkaian pengangkutan awam bas, rel, dan teksi; mengurus permintaan pengangkutan awam dan integrasi.

Aliran kerja bagi perkhidmatan rel merupakan perkhidmatan pengangkutan awam yang paling penting.

Oleh itu, kerajaan telah merangka tiga inisiatif utama untuk menambah baik operasi perkhidmatan sedia ada iaitu dengan penambahbaikan perkhidmatan KTM Komuter dan Aliran Transit Ringan (LRT), penambahan kapasiti KL Monorel dan projek peluasan jajaran aliran LRT Kelana Jaya dan Ampang.

Bagi meningkatkan kecekapan dan kapasiti perkhidmatan rel, kerajaan telah menggantikan set tren gerabak dalam meningkatkan kapasiti penumpang, meningkatkan keandalan perkhidmatan rel sehingga mencapai 97.5 peratus pada waktu puncak dan meningkatkan kesalinghubungan dari awal hingga akhir perjalanan melalui kompleks Park N Ride, stesen bersepadu dan laluan pejalan kaki.

Di samping itu, dalam menambah baik perkhidmatan LRT, kerajaan akan memperluaskan stesen jajarannya di bawah Program Peluasan Aliran (LEP).

Progaram itu akan merangkumi projek perluasan aliran LRT ke stesen Kelana Jaya dengan meliputi 12 stesen baharu sebelum berakhir di Stesen Bersepadu Putra Heights.

Aliran Ampang pula akan meliputi 12 stesen baharu daripada Stesen Bersepadu Putra Heights sebelum berakhir di Stesen Awan Besar.

Di bawah aliran kerja bas, kerajaan menyediakan 470 bas RapidKL baharu untuk menambah kekerapan bas di sekitar Lembah Klang dan menaik taraf 1,177 perhentian bas di lokasi utama serta membina 372 perhentian bas baharu di sekitar Lembah Klang.

Kerajaan juga mewujudkan Bas Aliran Deras (BRT) yang merupakan satu bentuk sistem pengangkutan bas khusus yang direka untuk memenuhi permintaan penumpang dengan menggabungkan aspek transit berkapasiti tinggi.

Bagi aliran kerja teksi, kerajaan mewujudkan model perniagaan baharu dengan memperkenalkan jenama Teksi 1Malaysia (Teksim) dalam mempertingkat perkhidmatan teksi dan menyeragamkan kelas perkhidmatan dalam industri itu dan sehingga kini, 875 unit Teksim telah beroperasi.

Kerajaan juga memperkenalkan Sistem Perkhidmatan Teksi Berpusat (CTSS) yang merupakan sistem menyeluruh untuk membantu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengendali teksi yang tidak mematuhi peraturan.

CTSS juga berupaya memantau kesalahan seperti tidak mengguna meter, memandu secara melulu dan mengendalikan teksi tanpa lesen yang sah.

Di bawah aliran kerja untuk Pengurusan Permintaan Pengangkutan Awam, kerajaan akan memperkenalkan inisiatif Pengurusan Dan Pengawalan Tempat Letak Kereta.

Inisiatif ini akan merangkumi dua aspek iaitu mengkaji semula kadar bayaran tempat letak kereta di kawasan pusat bandar agar lebih sejajar dengan keadaan pasaran dan mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan meletak kereta. -- Bernama 


Tags / Kata Kunci: pengangkutan awam , GTP

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan