Sidang Kemuncak Asean Ke-26 Tutup Tirai, Terima Pakai Tiga Deklarasi

Diterbitkan: Isnin, 27 April 2015 11:32 PM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Asean menerima pakai tiga dokumen termasuk 'Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Asean Berorientasikan Rakyat, Asean Berpaksikan Rakyat' apabila Sidang Kemuncak Asean ke-26 yang dipengerusikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak menutup tirai di sini malam Isnin.

Dua lagi dokumen yang diterima pakai ialah 'Deklarasi Langkawi mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global' dan 'Deklarasi Menginstitusikan Daya Tahan Asean dan Komunitinya dan Rakyat Terhadap Bencana dan Perubahan Iklim'.

Perhimpunan perkumpulan 10 negara anggota itu secara rasminya bermula di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pagi Isnin sebelum pemimpin negara serantau itu berhimpun di Pulau Langkawi ini di utara Semenanjung Malaysia bagi sesi pemukiman dan majlis penutupan.

"Saya percaya kami telah mengadakan perbincangan yang amat positif dan bermanfaat dan berkongsi hala tuju untuk bekerja bersama-sama untuk memastikan Asean Berpaksikan Rakyat menjadi kenyataan," kata Najib semasa menutup sidang kemuncak pada 26-27 April itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC).

Beliau mengambil perhatian bahawa hasil daripada perbincangan panjang lebar pada Isnin, dengan jelas memperlihatkan Asean semakin hampir untuk merealisasikan pembentukan Komuniti Asean menjelang akhir tahun ini.

Bagi sidang kemuncak yang berlangsung di Langkawi, Indonesia diwakili Naib Presiden, Jusuf Kalla. 

Ketua negara dan ketua kerajaan Asean turut mengambil perhatian terhadap enam laporan disediakan bagi sidang kemuncak, iaitu Laporan Setiausaha Agung Asean mengenai Rangka Kerja Asean; Laporan Majlis APSC (Komuniti Politik-Keselamatan Asean) bagi Sidang Kemuncak Asean ke-26; dan Laporan Majlis AEC (Komuniti Ekonomi Asean) bagi Sidang Kemuncak Asean ke-26.

Tiga lagi ialah Laporan Majlis ASCC (Komuniti Sosio-Budaya Asean) bagi Sidang Kemuncak Asean ke-26; Laporan Pengarah Eksekutif Yayasan Asean; dan akhir sekali Laporan Majlis Penasihat Perniagaan Asean bagi Pemimpin Asean. 

Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean pada 1977, 1997 and 2005.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan