Kuala Lumpur Saksikan Sidang Kemuncak Asean Ke-26

Diterbitkan: Isnin, 27 April 2015 10:24 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merasmikan Sidang Kemuncak Asean kali ke-26 pagi ini, menggesa kumpulan serantau itu supaya lebih berpaksikan rakyat, dengan harapan semua rancangan bersepadunya memberi manfaat kepada 635 juta penduduk.

Ia juga merupakan tempoh yang penting untuk ekonomi serantau itu menyepadukan usaha untuk mewujudkan komuniti Asean menjelang akhir tahun semasa Malaysia meneraju kumpulan 10 negara anggota itu.

Majlis perasmian di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 pagi itu dihadiri kesemua 10 pemimpin Asean, serta Setiausaha Agung Asean, Le Luong Minh.

Pemimpin berkenaan terdiri daripada Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei Darussalam, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong, Presiden Myanmar U Thein Sein, Presiden Filipina Benigno S.Aquino III, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha dan Perdana Menteri  Vietnam Nguyen Tan Dung.

Selaku Pengerusi, tumpuan utama Malaysia ialah untuk memastikan langkah dan inisiatif utama penubuhan Komuniti Asean diselesaikan, termasuk proses penyepaduan berterusan pasca 2015.

Sidang kemuncak di KLCC berlangsung dalam sesi pleno, diikuti pemukiman di Langkawi pada sebelah petang.

Pada sesi pleno yang bermula 10 pagi, para pemimpin akan membincangkan penubuhan Komuniti Asean, kemajuan Visi Komuniti Asean Pasca 2015 dan hubungan luar selain arah tuju masa depannya.

Isu Laut China Selatan juga dijangka dibincangkan pada mesyuarat peringkat tertinggi.

Jadual pada Isnin termasuk pemeteraian perjanjian penubuhan sekretariat serantau bagi pelaksanaan Perjanjian Perakuan Bersama Asean bagi Profesional Pelancongan.

Ia diikuti pertemuan bersama Wakil Dewan Parlimen Antara Asean, Majlis Perniagaan Asean (ABAC) serta Wakil Pertubuhan Masyarakat Sivil dan Belia Asean.

Najib juga dijadual mengadakan sidang media selepas sesi pleno berakhir.

Selepas sidang media, semua pemimpin akan berlepas ke Langkawi untuk sesi pemukiman Sidang Kemuncak Asean ke-26.

Pada pemukiman itu, para pemimpin akan membincangkan topik Kepusatan Asean, impak krisis kewangan dan kelembapan ekonomi di rantau itu dan respons Asean, perubahan iklim dan pengurusan bencana, selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa kepentingan bersama.

Majlis penutupan akan berlangsung pada 7 malam, diikuti jamuan malam yang dihoskan oleh Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Malaysia mengambil alih giliran sebagai Pengerusi Asean mulai 1 Jan, 2015 daripada Myanmar.

Asean dibentuk pada 1967 oleh Malaysia, Singapura, Filipina, Thailand dan Indonesia, dan kemudiannya disertai Brunei Darussalam, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja. -- Bernama

Tags / Kata Kunci: Najib Razak , Sidang Kemuncak Asean , KLCC

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan