Mercy Malaysia Hantar Pasukan Perubatan Ke Nepal

Diterbitkan: Isnin, 27 April 2015 4:57 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persatuan Bantuan Perubatan (Mercy) Malaysia menghantar pasukan perubatan kecemasan ke Nepal untuk membantu mangsa kejadian gempa bumi yang cedera.

Organisasi bantuan sukarelawan itu menjangkakan Unit Tindakan Kecemasan (ERU) yang berlepas ke negara itu akan berada di sana sekurang-kurangnya sebulan.

Lapan ahli ERU yang dihantar ke Nepal itu terdiri daripada doktor dan pakar bedah selain menyediakan kelengkapan hospital untuk membantu mangsa yang terlibat.

Sepanjang berada di kawasan bencana itu, hospital mini akan dibina yang dilengkapi bilik pembedahan, perkhidmatan farmaseutikal dan jabatan pesakit luar (OPD).

Pasukan perubatan kecemasan itu akan diketuai Perunding Pakar Bedah Ortopedik dan Trauma, Dr Heng Aik Cheng.

Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, daripada pemantauannya, kerja-kerja membantu mangsa di Nepal akan mengambil masa lama dan beberapa lagi pasukan perubatan akan dihantar ke Kathmandu.

"Mercy Malaysia berharap orang ramai dapat menghulurkan bantuan dan sumbangan menerusi organisasi kami bagi bantuan kemanusiaan," katanya.

Gempa bumi yang berlaku pada Sabtu lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 3,200 nyawa, manakala ribuan lagi mengalami kecederaan dan ditempatkan di khemah sekitar bandar Kathmandu.

Menurut laporan, hospital di Kathmandu sudah tidak mampu menempatkan mangsa yang tercedera sehingga ada yang terpaksa dirawat di tepi jalan.


Tags / Kata Kunci: Mercy Malaysia , Nepal , perubatan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan