Pengerusi Asean Mahu CoC Laut Cina Selatan Disiapkan Segera

Diterbitkan: Isnin, 27 April 2015 10:31 AM

Tepukan gemuruh mengiringi kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sidang Kemuncak Asean, Isnin.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia, selaku Pengerusi Asean 2015, berharap Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan dapat dimuktamadkan lebih awal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkembangan terbaharu di Laut China Selatan mencetuskan kebimbangan, dan berdasarkan pentingnya laluan lautan itu kepada perdagangan antarabangsa, sudah sewajarnya sebarang perkembangan di sana akan menarik perhatian.

"Asean mesti menangani perkembangan ini secara proaktif, malah secara positif dan konstruktif," katanya pada perasmian Sidang Kemuncak Asean ke-26 Di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, Isnin.

Beliau berkata, selain hubungan kerjasama dan pembabitan berterusan dengan negara di luar rantau, Asean perlu menangani perbezaan yang berlaku di kawasan berdekatan, termasuk tuntutan bertindih wilayah maritim secara aman tanpa ketegangan.

Najib berkata, menghormati undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut 1982, mesti menjadi asas peraturan bagi pembabitan dan aktiviti di Laut China Selatan.

Pemimpin pakatan serantau 10 anggota itu berhimpun di ibu negara di sini bagi menghadiri sidang kemuncak dua hari yang bermula semalam.

Asean terdiri daripada Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei dan Vietnam.

Tuntutan bertindih wilayah maritim mendorong kepada pemeteraian Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak (DoC) di Laut China Selatan pada 2002 antara Asean dan China.

Deklarasi itu antara lain menetapkan pihak-pihak yang terlibat mengesahkan pemakaian kod tatalaku di Laut China Selatan akan meningkatkan lagi keamanan dan kestabilan di rantau ini dan bersetuju untuk bekerja secara konsensus ke arah mencapai objektif terbabit.

Sehingga ini belum ada konsensus ke atas CoC.

Menteri Luar Thailand Jeneral Tanasak Patimapragorn dilaporkan berkata pada Ahad bahawa Asean dan kumpulan kerja China bagi CoC, akan bertemu di Thailand pada Mei bagi membincangkan lebih lanjut rangka dokumen itu.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Najib Razak , Sidang Kemuncak Asean , KLCC

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan