Debat GST: Ahmad Maslan Enggan Layan Cabaran PAS

Diterbitkan: Isnin, 27 April 2015 7:23 PM

Ahmad Maslan melihat senarai nama daftar pemilih yang dikemas kini rekod oleh petugas Puteri Umno semasa melawat Bilik Gerakan, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pontian sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, Isnin.

(Ubah saiz teks)

ROMPIN: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan enggan ambil pusing cabaran debat mengenai isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilontarkan PAS terhadapnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.

Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, beliau enggan melayan cabaran tersebut bukan kerana takut tetapi tidak mahu terperangkap dalam politik pakatan pembangkang.

"Saya tak takut dengan mereka. Soalan Rafizi di Dewan Rakyat saya jawab, soalan Anwar pun saya jawab tapi mereka sentiasa memutarbelitkan kenyataan saya.

"Saya hanya akan berdebat dengan individu yang sesuai. Saya dapati mereka bukan individu sesuai. Dalam konteks PRK segala perkara baik jadi tak baik. Mereka akan spin," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Maslan berkata, beliau hanya akan menjelaskan kepada rakyat mengenai GST menerusi pentas kempen Umno sepanjang PRK ini.

"Semalam saya di Permatang Pauh, semua saya cerita mengenai GST. Saya ada pentas sendiri, mereka akan spin apa saya kata di pentas mereka," katanya.

Isu GST dan Felda dijadikan sebagai modal kempen PAS untuk menyerang BN pada PRK Parlimen Rompin.

Malah, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencabar Ahmad  untuk ke Rompin bagi menjelaskan bahawa GST sebenarnya tidak membebankan rakyat.

Menurut Ahmad Maslan lagi, tiada apa yang perlu dirisaukan di PRK Rompin selepas melihat penerimaan rakyat di daerah itu pada hari keenam kempen.

"Ini kali keempat saya datang ke Rompin. Tiada apa yang perlu dirisaukan cuma hasrat kita mahu tingkatkan majoriti ke angka lebih tinggi," katanya.

Malah, Ahmad Maslan berkata, jentera BN giat memberi penerangan kepada rakyat menerusi ceramah termasuk mengedarkan risalah dan bertemu pengundi.

"Kita akan bagi penjelasan melalui risalah, jumpa di ceramah dan menggunakan saluran-saluran kami. Akhirnya rakyat akan faham," katanya.


Tags / Kata Kunci: Ahmad Maslan , PAS , GST , PRK Rompin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan