Kerajaan, Felda Perlu Jawab Dakwaan Pembangkang - Peneroka

Diterbitkan: Ahad, 26 April 2015 12:32 PM

(Ubah saiz teks)

MUADZAM SHAH: Golongan peneroka di tanah rancangan Felda di Pahang meminta Pengerusinya, Tan Sri  Mohd Isa Abdul Samad  menjawab segala isu yang dibangkitkan PAS dalam kempen ceramah mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.

Menerusi tinjauan mStar Online pada Himpunan Peneroka Felda anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) pada Sabtu, kebanyakan peneroka yang hadir memberitahu mereka mula menganggap dakwaan pembangkang berkaitan organisasi itu 'ada kebenarannya'.

Pada Sabtu malam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan ketika merasmikan program itu mendakwa sistem pengurusan Felda kini tidak mengikut hukum Islam dan lebih berkonsepkan ekonomi kapitalis, malahan pelbagai isu melibatkan peneroka termasuk tanah dan rumah yang masih berlarutan dijadikan senjata untuk menyerang Barisan Nasional (BN) dalam saingan satu lawan satu pada 5 Mei ini.

Walaupun bilangan peneroka yang hadir dilihat kurang menggalakkan, namun isu yang dikemukakan menarik perhatian mereka yang berhadapan pelbagai masalah di tanah rancangan Felda. 

Peniagawati dari Felda Keratong 1, Azizah Wahab, 48 berkata, dakwaan PAS mengenai kepincangan Felda selama ini menyebabkan beliau mula terfikir kebenaran kata-kata pemimpin pembangkang itu.

"Makcik seolah-olah dah terbuka minda... apa yang dikatakan dalam ceramah itu seolah-olah betul. Namun ada baiknya kerajaan atau Pengerusi Felda sendiri jelaskan kepada kami mengenai perkara yang dibangkitkan itu.

"Saya lihat golongan muda di tanah rancangan ini sudah mula terpengaruh dengan kata-kata penceramah. Mungkin ianya disebabkan isu membabitkan golongan tersebut yang gagal ditangani kerajaan sehingga hari ini," katanya kepada mStar Online.

Seorang lagi peneroka dari Felda Keratong 5, Ngah Yusuf, 75 berkata, kebanyakan peneroka di sini juga tidak berpuas hati dengan perjanjian tanam semula dan pengurusan kebun yang dilihat seperti berat sebelah.

"Ia dilihat lebih menguntungkan Felda. Perjanjian untuk tanam semula ini pula menyebabkan peneroka terus membayar hutang kepada Felda. Pak cik dah tua sebab tu pak cik buat pilihan untuk tanam dan kutip sawit sendiri, " katanya.

Sementara itu, Mat Zain Mat Zakaria, 75, yang sanggup datang dari Felda Mempaga, Bentong berkata, masalah utama peneroka Felda sekarang adalah harga getah dan kelapa sawit rendah.

"Ramai orang fikir peneroka Felda yang menanam sawit  hidup dalam keadaan mewah kerana harga sawit yang tinggi. Nasib kami dikatakan jauh lebih baik berbanding peneroka yang menanam getah. Satu ketika dahulu mungkin benar tetapi sekarang tidak lagi," katanya.

Beliau berkata, jika dahulu harga untuk satu tan kelapa sawit mampu mencecah RM800, kini ianya menurun sekitar RM400 setan.

"Jumlah itu menyusut hampir separuh daripada harga asal. Dengan pendapatan bulanan yang tidak seberapa, kami bimbang masa depan Felda tidak lagi terjamin," katanya.

Bagi Rahmat Derahman, 29, salah seorang anak peneroka Felda pula berkata, isu rumah untuk generasi kedua masih gagal ditangani badan agensi kerajaan tersebut.

"Kami di Felda Keratong 8 masih belum ada rumah generasi kedua. Nak beli pun terpaksa pergi ke Muadzam Shah tapi harganya agak mahal dan ketiadaan slip gaji menyukarkan kami membeli rumah mampu milik," katanya.

Justeru,  Rahmat menggesa kerajaan supaya mendengar keluhan hati anak muda sepertinya jika mahu generasi kedua Felda terus memberi sokongan kepada BN.

"Anak muda sekarang sudah celik IT, pengaruh media sosial itu amat kuat. Saya lihat ramai anak muda sudah terbuka minda. Dengarlah keluhan kami dan hargailah undi kami pada Pilihan Raya Umum yang lalu," katanya.

Golongan peneroka meliputi 51.51 peratus daripada 53,294 pengundi di kawasan Rompin.

PRK Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Datuk Hasan Arifin dan Nazri Ahmad, mewakili PAS pada 5 Mei ini.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan