PRK Rompin: Isu Peneroka Senjata Kedua PAS Serang BN

Diterbitkan: Ahad, 26 April 2015 8:35 AM

(Ubah saiz teks)

MUADZAM SHAH: Selepas isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kini pembangkang menjadikan isu peneroka sebagai senjata untuk menyerang Barisan Nasional (BN) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin.

Terkini, pentas program Himpunan Peneroka Felda digunakan untuk memenuhi matlamat parti itu.

Bagaimanapun, disebalik nama besar dalam barisan kepimpinan PAS yang hadir pada himpunan yang bertujuan membongkar penyelewengan organisasi itu, sambutan penduduk sekitar tapak perhimpunan dilihat gagal mencapai sasaran.

Sehingga tamat program yang dirasmikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu,  hanya kira-kira 1,000 penonton dari 14 Felda sekitar Pahang membanjiri tapak himpunan di Felda Keratong 4, malam Sabtu.

‪Turut hadir Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman dan calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin dan Nazri Ahmad.‬

‪Himpunan anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang berlangsung selama dua hari itu turut disertai bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KPF Quality Foods Sdn Bhd, Datuk Sarchu Sawal, yang dikatakan hadir untuk mendedahkan penipuan membabitkan badan itu.

‪Hadi dalam ucapannya mendakwa sistem pengurusan Felda tidak mengikut hukum Islam dan lebih berkonsepkan ekonomi kapitalis.‬

‪"Felda ikut cara kapitalis untuk pungut harta, pungut kekayaan tanpa mengira manusia.‬

‪"Maka hanya segelintir manusia sahaja yang dapat manfaat kekayaan dan sebahagian manusia diperhambakan di ladang-ladang," katanya.

‪Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, seharusnya  hasil kekayaan negara diagihkan kepada rakyat dengan cara berkesan dan tidak hanya untuk kepentingan golongan tertentu sahaja.‬

‪Ternyata, PAS menjadikan isu peneroka Felda untuk menyerang Barisan Nasional (BN) pada kempen PRK kali ini dalam usaha meraih sokongan pengundi pada 5 Mei ini.‬

‪Antara isu lain yang turut dibangkitkan adalah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang sentiasa menjadi bualan ramai sejak dikuatkuasakan pada 1 April lalu.‬

‪Menyentuh mengenai isu GST, Hadi menyifatkan cukai tersebut sebagai 'Gasak Sampai Ke Tulang'.‬

‪"Semua barang kena tapi budu, belacan, cencalok ya ke tak ke? Nak buat budu kena ada garam, garam kena import. Nak jual budu guna lori... lori kena ada minyak pusing-pusing mesti kena GST, akan jadi begitu," katanya.‬

‪Beliau mendakwa pelaksanaan GST menandakan sesebuah kerajaan itu lemah kerana gagal menguruskan kekayaan buni dan tenaga manusia dengan baik.‬

‪"Rakyat membantu kerajaan dari segi pembangunan ekonomi, ia tidak cukup apabila kerajaan tidak mengurus dengan betul. Apabila kerajaan boros, orang kaya bayar cukai bukan bayar rasuah, itu kena faham.‬

‪"Apabila rasuah banyak sehingga wujudnya penyelewengan maka kerajaan mengenakan cukai bukan sahaja kepada orang kaya tetapi miskin," katanya.‬

Tags / Kata Kunci: isu peneroka , PRK Rompin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan