PKR Mahu Anwar Rintis Pelepasan Banduan Keluar Mengundi

Diterbitkan: Ahad, 26 April 2015 3:27 PM

Nurul Izzah Anwar

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi pelepasan untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya (PRK) Parlimen Permatang Pauh, 7 Mei ini.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, pelepasan kepada bapanya itu yang kini menjalani hukuman penjara boleh dijadikan perintis kepada usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membolehkan banduan mengundi pada pilihan raya.

“Saya menyambut baik saranan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan mencadangkan agar PRK Permatang Pauh menjadi projek rintis dengan membenarkan Anwar yang ditahan sebagai tahanan politik, dibenar keluar mengundi,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian PKR di Yayasan Aman di sini.

Pada Julai 2013, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, KDN akan mencari mekanisme yang boleh diguna pakai bagi membolehkan banduan mengundi pada pilihan raya akan datang.

Bercakap ketika kempen PRK DUN Kuala Besut, Ahmad Zahid berkata, perbincangan berterusan akan diadakan antara pihak terbabit seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan banduan menunaikan hak sebagai pengundi.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR berkata, permintaan supaya Anwar diberi pelepasan mengundi adalah sejajar dengan pernyataan dan syor Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

“Justeru saya menyeru agar KDN melaksanakan prinsip asas dengan membenarkan hak kewarganegaraan dilunaskan oleh Anwar  pada 7 Mei ini,” katanya.

Sebelum ini, pakatan pembangkang turut mendesak supaya KDN memberi kebenaran kepada Anwar menghadiri sidang Parlimen sebelum status keanggotaannya sebagai Ahli Dewan Rakyat digugurkan pada 16 Mac lalu.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja Anwar sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Permatang Pauh diadakan pada 7 Mei ini, manakala pengundian awal pada 3 Mei.

Penamaan calon telah diadakan pada 25 April lalu yang menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional, Suhaimi Sabudin, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan calon Bebas, Salleh Isahak.



iklan

Kolumnis

iklan

Iklan