Keputusan PRK Permatang Pauh Dijangka Diketahui 9 Malam - SPR

Diterbitkan: Sabtu, 25 April 2015 2:47 PM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini, dijangka diketahui seawal 9 malam, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata, SPR juga menjangkakan jumlah yang akan mengundi mencapai 80 peratus daripada 71,890 orang yang layak mengundi di kawasan itu.

"SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi kali ini menurun kepada 80 peratus daripada 88.50 peratus pada pilihan raya umum ke-13 pada Mei, 2013.

"Sebanyak 130 saluran untuk hari pengundian dan 627 anggota polis akan mengundi awal di dua saluran iaitu Dewan Gemilang Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan berek kelamin Balai Polis Kubang Semang pada 3 Mei," katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon PRK Parlimen Permatang Pauh di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, di sini Sabtu.

PRK Parlimen Permatang Pauh Khamis ini, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PKR, Parti Rakyat Malaysia dan seorang calon Bebas.

Calon BN Suhaimi Sabudin akan dicabar Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Salleh Ishak (Bebas) dan Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia.

Mohd Hashim menolak tanggapan bahawa pengurangan itu disebabkan hari pengundian diadakan pada hari bekerja kerana rekod SPR menunjukkan bahawa faktor hari bekerja atau hari cuti tidak mempengaruhi jumlah peratusan keluar mengundi.

Beliau berkata untuk PRK Permatang Pauh, SPR menubuhkan enam pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya bagi tujuan pemantauan, dengan setiap DUN ditempatkan dua pasukan.

"Pasukan ini akan membuat rondaan dan jika ada kempen yang dijalankan melanggar peraturan, kami akan mengambil tindakan. Mereka terdiri daripada wakil polis dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta wakil parti politik yang bertanding," katanya.

Beliau berkata, SPR juga ada melantik pemerhati pilihan raya yang terdiri daripada 10 individu mewakili Majlis Belia Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Persatuan Veteran Tentera.

Mohd Hashim turut menasihatkan pengundi untuk menyemak tempat pengundian sebelum hari pengundian bagi memastikan mereka tidak tersilap.

"Untuk itu, pengundi boleh menghubungi SPR menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau melayari lawan web rasmi SPR www.spr.gov.my bagi menyemak nama dan tempat pengundian," katanya.

Beliau juga menasihatkan parti bertanding pada PRK itu dapat menjaga batasan bagi memastikan suasana tenang yang berlangsung pada hari penamaan calon berkekalan hingga tamat hari pengundian. 

Semua parti bertanding juga diingatkan mematuhi peraturan ditetapkan SPR dan polis, termasuk mendapatkan permit untuk ceramah dan tidak berkempen melebihi 12 tengah malam, 6 Mei ini, katanya.

"Selain itu, saya minta parti yang tidak bertanding agar tidak memasang bendera atau sepanduk mereka kerana ia menyalahi peraturan dan pihak SPR akan mengambil tindakan tegas jika mereka ingkar," katanya.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

SPR menetapkan hari pengundian PRK Permatang Pauh pada 7 Mei.

Tags / Kata Kunci: SPR , Permatang Pauh

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan