PRK Rompin: Kempen Tanpa Perang Poster

Diterbitkan: Sabtu, 25 April 2015 9:17 AM

Bendera BN di Felda Keratong 4

(Ubah saiz teks)

ROMPIN: Memasuki hari ketiga kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, suasana di daerah yang terkenal dengan udang galah itu kelihatan hambar kerana tiada perang poster daripada Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Lazimnya, setiap kali tibanya PRK, jentera parti pasti sibuk menyediakan persiapan berkempen untuk mempromosikan calon setiap parti yang bertanding.

Namun, berbeza di Rompin, kedua-dua calon lebih selesa dengan pendekatan bertemu sendiri dengan pengundi dari rumah ke rumah.

Menerusi tinjauan mStar Online di sekitar bandar Rompin, bendera Barisan Nasional  hanya tertumpu di beberapa jalan utama seperti Jalan Dato Ibrahim di sini.

Namun tiada perang poster membabitkan calon BN, Datuk Hasan Arifin dan Nazri Ahmad mewakili PAS sekali gus memberi tanggapan kepada banyak pihak bahawa kempen PRK ini agak suram.

Malah, bendera PAS dan BN kebanyakannya mewarnai kawasan laluan masuk ke tanah rancangan Felda seperti di Felda Keratong 4.

Bendera PAS mewarnai kawasan laluan masuk ke tanah rancangan Felda seperti di Felda Keratong 4.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Hasan berkata kempen BN mengikut rentak pengundi di Rompin yang tidak agresif dari segi kepartian.

"Memang kita akan rancang strategi... tekan gear 3 akan slowlah, gear satu dua tiga empat kita terus sahaja. Di Rompin ini berbeza, kita boleh lihat sama ada PAS dan Umno bukan agresif.

"Namun kita akan terus bekerja tetapi bukan jenis agresif dari segi kepartian. Keadaan di sini lain, kalau anda meliputi PRK di utara anda akan lihat perbezaan," katanya.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu tidak terlalu ghairah untuk memasang poster dan bendera di kawasan berkenaan untuk mengelak pembaziran yang besar.

"Tidak perlu pembaziran yang besar. Kita boleh lihat juga dalam pilihan raya di UK hampir tidak ada poster calon.

"Kita juga tidak keluarkan manifesto, ini hanyalah Pilihan Raya Kecil... lainlah kalau Pilihan Raya Umum, memang kita sediakan. Namun kita akan edarkan risalah mengenai calon," katanya.

Beliau berkata parti itu mengambil pendekatan untuk bersemuka dengan pengundi menerusi beberapa program ziarah ke setiap DUN untuk memperkenalkan calon dan pada masa sama mendengar permasalahan rakyat.

Tags / Kata Kunci: PRK Rompin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan