PRK Rompin: PAS Putar Belit Isu Rumah Generasi Kedua Felda - Isa

Diterbitkan: Khamis, 23 April 2015 7:29 PM

(Ubah saiz teks)

MUADZAM SHAH: Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad mendakwa pembangkang sengaja menimbulkan kekeliruan mengenai isu rumah generasi kedua Felda untuk mempengaruhi golongan muda supaya tidak mengundi Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, sebanyak 9,000 unit rumah untuk generasi kedua sudah mendapat kelulusan kerajaan untuk dibina tetapi terpaksa dihentikan seketika kerana terdapat masalah berkaitan penjualan.

"Kita dah mula bina dan sebanyak 9,000 unit rumah dah diluluskan tapi kita berhentikan seketika. Kita mahu selesaikan cara penjualan rumah tersebut," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Pecah Tanah Dewan di Keratong 10, di sini, Khamis.

Beliau berkata, kerajaan telah membuat keputusan untuk menggunakan konsep sewa beli terhadap rumah tersebut.

"Anak generasi kedua yang difikirkan sesuai akan duduk dan sewa dulu rumah tersebut. Selepas lima tahun kalau mereka rasa nak beli, boleh beli.

"Tetapi kalau dalam tempoh dua tahun mereka nak beli, kita akan jual ikut kemampuan mereka," katanya.

Isa samad berkata Felda terpaksa menggunakan konsep sewa beli kerana timbul kekangan dalam soal pembelian rumah apabila terdapat golongan muda yang berkemampuan tetapi tidak mempunyai penyata pendapatan.

"Kita guna konsep ini terlebih dahulu kerana kita difahamkan ramai yang berkemampuan untuk membeli tapi tak ada penyata gaji," katanya.

Beliau berkata,  sebanyak 20,000 unit rumah yang disasarkan untuk dibina akan dimulakan tidak lama lagi.

"Saya rasa kerja pembinaan akan dimulakan dalam dua tiga bulan lagi. Kita juga sedang memohon pinjaman bank dan saya rasa ia tak ada masalah," katanya.

Pada PRK ini, PAS membangkit isu tersebut untuk menyerang BN kerana mendakwa kerajaan gagal menyediakan rumah generasi kedua Felda seperti yang telah dijanjikan.

Tags / Kata Kunci: Felda , Keratong

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan