Mohd Anwar Angkat Sumpah Anggota Dewan Negara

Diterbitkan: Khamis, 23 April 2015 12:47 PM

Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang pada Khamis. Mohd Anwar, 65, pernah menjawat jawatan sebagai Panglima ATM.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara di sini, pada Khamis.

Mohd Anwar, 65, yang juga bekas Panglima ATM, dilantik sebagai senator untuk kali pertama, bagi tempoh tiga tahun.

Upacara angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Sementara itu, Abu Zahar mengucapkan tahniah kepada Mohd Anwar atas pelantikannya itu yang menjadi kebanggaan serta penghormatan kepada seluruh pasukan ATM.

"Saya berharap semoga perangai dan perwatakan serta keperibadian tinggi, beradab dan bersopan santun terus dikekalkan dan menjadi contoh dan tauladan kepada ahli-ahli Parlimen," katanya.

Abu Zahar meminta agar semua anggota dewan memahami segala peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Peraturan-peraturan Mesyuarat.

"Sekarang ini saya berasa risau kerana terdapat segelintir bilangan Ahli Yang Berhormat yang tidak menghormati kemuliaan Dewan Parlimen dan melanggar Peraturan Mesyuarat serta Perlembagaan Negara," katanya.

Sementara itu, Mohd Anwar yang ditemui di lobi Parlimen berkata pelantikannya adalah penghormatan dan penghargaan tinggi kerajaan kepada Veteran ATM yang telah berjuang dan berkorban dalam mempertahankan negara daripada ancaman pengganas komunis semasa era darurat.

"Sebagai seorang yang dilantik atas platform Persatuan Veteran ATM (PVATM), maka saya akan meneruskan, memperkasa dan menstranformasikan PVATM di samping meneruskan perjuangan dalam usaha menambah baik hal ehwal kebajikan Veteran ATM yang seramai 370,000 secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata antara perkara yang akan difokus ialah menaikkan elaun Veteran ATM, isu perumahan untuk warga Veteran ATM di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan dan kebajikan untuk Orang Kurang Upaya ATM.

Tags / Kata Kunci: Dewan Negara , ATM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan