PRK Rompin: Hasan Tempelak Slogan PAS Tentang GST

Diterbitkan: Khamis, 23 April 2015 6:28 PM

Calon Barisan Nasional Datuk Hasan Arifin beramah mesra dengan penduduk setempat selepas majlis pecah tanah Dewan Semai Bakti Keratong 10, Khamis.

(Ubah saiz teks)

ROMPIN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin menempelak slogan kempen PAS '1 Undi PAS, 1 Undi Tolak GST' dengan menyifatkan ia sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.

"Ia satu slogan yang tidak bertanggungjawab dan tidak patut digunakan dalam soal kita nak pilih wakil rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Pecah Tanah Dewan di Keratong 10, Muadzam Shah di sini, Khamis.

Turut hadir Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muadzam Shah, Datuk Maznah Mazlan.

Namun, Hasan yang juga Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin memberitahu, beliau sudah bersedia menjelaskan kepada rakyat mengenai isu tersebut kerana menyedari pembangkang akan menjadikannya sebagai modal kempen mereka.

"GST adalah satu sistem percukaian yang berkesan. Saya minta pengundi jangan terpengaruh dengan dakwaan pembangkang mengenainya.

"Saya akan memberikan penjelasan mengenai GST kerana ia boleh menjejaskan sokongan kira-kira 33,000 pengundi muda di Parlimen itu," katanya.

Walaupun PAS menggunakan isu GST untuk menyerang jentera BN, Hasan percaya dapat memenangi kerusi yang dipertahankan penyandangnya, Tan Sri Jamaluddin Jarjis selama enam penggal.

"Saya sentiasa mengikuti isu melibatkan masyarakat setempat kerana pernah ada pengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Ibam sebelum ini," katanya.

Hasan berkata, soal pencalonannya bukan satu isu kerana beliau berkhidmat sekian lama di dalam parti walaupun sudah tidak lagi menjadi wakil rakyat sebelum ini.

Hasan akan menentang calon PAS, Nazri Ahmad, 40, dalam pertembungan satu lawan satu pada 5 Mei ini.

Selain menurunkan calon muda, PAS menjadikan isu GST dan rumah generasi kedua Felda sebagai modal untuk memancing undi golongan muda di Rompin.


Tags / Kata Kunci: PRK Rompin , PAS , GST

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan