Hukuman Sebat Masih Sesuai - KDN

Diterbitkan: Rabu, 22 April 2015 3:08 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan buat masa ini tidak bercadang menyemak semula hukuman sebatan terhadap pesalah jenayah, khususnya kanak-kanak  kerana hukuman itu dilihat masih sesuai, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau menjelaskan terdapat prosedur tertentu bagi menjalankan hukuman sebatan terhadap pesalah lelaki, wanita dan kanak-kanak atau remaja bawah umur.

"(Sebatan untuk kanak-kanak dan remaja) bukan sama dengan apa yang dilaksanakan terhadap orang dewasa ... menggunakan prosedur yang berlainan dan bersesuaian," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini, Rabu.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Khairiah Mohamed yang ingin tahu  sama ada kerajaan berhasrat untuk menyemak semula hukuman sebatan terhadap pesalah kanak-kanak atau remaja.

Seksyen 91(1)(g), Akta Kanak-kanak @001 membenarkan seseorang kanak-kanak lelaki dikenakan hukuman sebatan tidak lebih daripada 10 sebatan apabila disabitkan dengan kesalahan jenayah.

Wan Junaidi berkata remaja bawah umur atau juvana yang disabitkan dengan kesalahan yang membawa hukuman mati, tidak akan dijatuhkan hukuman mati, sebaliknya mereka ditahan sebagai Tahanan Limpah sehingga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri untuk dibebaskan.

Beliau menjawab soalan asal Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkenaan hukuman alternatif terhadap remaja bawah umur khususnya yang ditahan kerana kesalahan yang membawa hukuman mati dan 'screening procedure' yang ada untuk menilai kesediaan mereka untuk dibebaskan.

Wan Junaidi berkata terdapat tiga mekanisme yang boleh bertindak sebagai 'screening procedure' iaitu melalui Lembaga Hakim Pelawat, Jabatan Penjara atau Tahanan Limpah itu sendiri.

"Seperti diperuntukkan Seksyen 97 (4) Akta Kanak-Kanak 2001, 'screening procedure' dilaksanakan oleh Lembaga Hakim Pelawat yang akan menemu bual Tahanan Limpah atau remaja yang terlibat.

"Mereka juga akan mengkaji, menyediakan laporan dan membuat pengesyoran sekurang-kurangnya sekali setahun kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri sama ada wajar dilepaskan awal atau ditahan lanjut," katanya.

Katanya Jabatan Penjara pula akan mengemukakan 'Laporan Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali Tahanan Limpah' kepada Lembaga Pengampunan Negeri untuk pertimbangan mengenai penahanan mereka.

Laporan itu mengandungi semua aspek seperti disiplin pesalah, kemajuan pemulihan, pencapaian, kerjasama, komitmen sumbangan dan kesihatan mereka, katanya.

Selain itu, Wan Junaidi berkata Tahanan Limpah juga boleh mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri berasaskan ketetapan Peraturan 113, Peraturan-peraturan Penjara 2000.

Berdasarkan 'screening procedure' yang dilaksanakan mengikut Seksyen 97 (4) Akta Kanak-kanak 2001 dan Peraturan 54, Peraturan-Peraturan Penjara 2000, bagi tahun ini, seramai sembilan Tahanan Limpah atau remaja bawah umur telah dibebaskan.

Beliau berkata seorang tahanan turut dibebaskan pada tahun lepas.

Tags / Kata Kunci: Hukuman Sebat , Dewan Negara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan