Caj Perkhidmatan Kekal, Premis Wajib Letak Notis - KPDNKK

Diterbitkan: Rabu, 22 April 2015 5:16 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan industri perhotelan dan restoran boleh mengenakan caj perkhidmatan seperti amalan sebelum ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad.

Bagaimanapun, katanya, hanya premis yang mempunyai perjanjian bersama (CA) dengan pihak kesatuan pekerja atau termaktub dalam kontrak pekerja, boleh mengenakan caj berkenaan.

Mereka juga diwajibkan untuk mempamerkan notis makluman bahawa mereka mengenakan caj perkhidmatan di premis masing-masing agar pengguna boleh membuat pilihan, katanya.

"KPDNKK juga akan keluarkan notis standard untuk diguna pakai oleh premis tetapi buat sementara ini premis boleh pamerkan notis mengikut cara sendiri," katanya dalam sidang media mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di sini, Rabu.

Menurutnya, perkara itu merupakan antara kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat bersama agensi dan jabatan kerajaan, persatuan hotel dan restoran, kesatuan pekerja serta persatuan pengguna, Isnin lepas.

Alias berkata, satu peraturan standard mengenai caj perkhidmatan juga sudah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan kelulusan dan dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat.

Katanya, satu kajian lanjut juga akan dibuat untuk mencadangkan satu perundangan baharu bagi mengawal selia kutipan caj perkhidmatan pada masa akan datang terutama dari aspek kepenggunaan.

Menurutnya, KPDNKK juga tidak menetapkan kadar caj yang boleh dikenakan dan terpulang kepada pihak hotel dan restoran untuk menetapkan kadar caj masing-masing dengan kadar maksimum 10 peratus.

"Ketika ini purata caj yang dikenakan di negara ini adalah 10 peratus dan GST turut dikenakan ke atas caj itu," katanya.

Alias berkata, mesyuarat itu mengambil maklum bahawa pekerja industri perhotelan dan restoran mengutip caj perkhidmatan bagi menampung gaji asas pekerja yang serendah RM350 walaupun selepas pelaksanaan gaji minimum.

Mengulas mengenai Ops Catut yang dijalankan sejak pelaksanaan GST, Alias berkata, KPDNKK akan membuat strategi baharu dengan turun ke pekan kecil dan kawasan luar bandar mulai hujung minggu ini.

"Kita akan fokus kepada penjaja seperti di pasar malam sebab ada yang menaikkan harga sesuka hari," katanya.

Beliau berkata, sejak 1 April lepas, sebanyak 139,425 premis telah diperiksa dan 30 kertas siasatan sedang dalam peringkat akhir sebelum dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya minggu depan.

Tags / Kata Kunci: GST , KPDNKK , Alias Ahmad , caj perkhidmatan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan