PRK Rompin: Nampaknya GST Dominasi Isu Parti Dan Calon...

Diterbitkan: Selasa, 21 April 2015 4:10 PM

(Ubah saiz teks)

ROMPIN: Di sebalik pelbagai isu yang diketengahkan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin termasuk calon dan parti, nampaknya isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga yang menjadi isu bualan 'panas' ramai penduduk pada ketika ini.

Tinjauan mStar Online di Felda Keratong, Muadzam Shah di sini mendapati, rata-rata penduduk setempat masih 'terkejut' dengan pengenalan GST yang bermula sejak 1 April lalu.

Pemilik sebuah kedai makan di Felda Keratong 10, Ruzi Abdul Majid, 51, (gambar) berkata, rata-rata penduduk atau pelanggan asyik membincangkan isu GST berbanding calon dan parti yang bertanding dalam PRK Rompin ini.

"Malah saya sendiri juga sering memikirkan hal GST kerana perniagaan sedikit terjejas apabila kekurangan pelanggan. Walaupun harga makanan dan minuman di gerai saya masih sama dan tidak ada kaitan dengan caj GST, tapi saya terpaksa kurangkan kuantiti makanan bagi menampung kos barang mentah yang dinaikkan pemborong akibat GST," katanya.

Walaupun bersetuju dengan sistem tersebut, Ruzi memberitahu, kerajaan sepatutnya melaksanakan ia secara berperingkat agar rakyat tidak terkejut dan dapat menyesuaikan diri mereka dengan sistem cukai baharu itu.

"Seelok-eloknya biarlah dilaksanakan secara berperingkat dan penduduk di kampung seperti kami diberi penjelasan mengenai sistem ini. Sekarang masih ramai penduduk yang tidak memahami apa sebenarnya GST. Apa yang mereka tahu ia adalah satu cukai yang mungkin menjejaskan dan memberi bebanan kepada orang kampung seperti kami," katanya.

Seorang peneroka Felda Keratong 8, Chandran Muniandy, 63, (gambar) pula mendakwa keluarganya terbeban dengan pelaksanaan GST sehingga perlu mengurangkan perbelanjaan seharian walaupun jumlahnya kecil.

"Sekarang kami lebih takut untuk berbelanja, nak beli kicap pun ada GST. Walaupun ada org kata enam peratus itu jumlah yang kecil, tapi bagi kita 10 sen pun dah banyak.

"Pergi mana-mana kedai di dalam kawasan Felda ini semua orang akan cakap mengenai GST. Ada juga peniaga di sini yang naikkan harga barang untuk tampung kos GST, tapi apa kita boleh buat. Kita terpaksa beli sebab nak pergi pasar raya agak jauh," katanya.

Seorang peniaga kedai runcit di Felda Keratong 8, Narsiah Jeamah, 66, (gambar) menegaskan, sistem GST ternyata memberi kesan kepada pendapatan bulanan yang diperolehinya.

"Orang ramai sudah jarang datang kedai. Kalau ada yang datang pun mereka akan tanya kenapa harga sudah naik. Kita tak boleh buat apa sebab kita beli dari pemborong pada harga yang tinggi. Jadi kita terpaksa naikkan sedikit untuk tampung kos pengangkutan," katanya.

Narsiah berkata, dia terpaksa berdepan pelbagai karenah pembeli yang tidak berpuas hati dengan harga barangan.

"Saya terpaksa jelaskan kepada mereka kenapa harga naik sebanyak 10 hingga 20 sen daripada harga sebelum ini. Saya bukan nak kaut untung lebih-lebih tetapi hakikatnya harga barang sudah naik semasa beli dari pemborong," katanya lagi.

Tags / Kata Kunci: GST , PRK Rompin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan