Korban Ego, Wajib Bantu PKR - Tuan Ibrahim

Diterbitkan: Selasa, 21 April 2015 6:55 PM

Perang bendera mula kelihatan di sekitar kawasan Parlimen Permatang Pauh.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemuda PAS Kawasan Permatang Pauh dan Pulau Pinang digesa supaya mengorbankan ego masing-masing demi menjaga nama baik parti itu di kalangan sekutu pakatan pembangkang.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan mengingkari secara terbuka arahan PAS Pusat supaya membantu kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Permatang Pauh hanya akan memburukkan keadaan.

"Sebagai pemimpin, kita harus mencapai langkah pendamaian dan penyelesaian, dan bukan memburukkan suasana. Jangan halakan senapang pada rakan sendiri meskipun senapang itu tiada peluru.

"Kalau sayang parti, jangan lukakan PAS dan imejnya. Sepatutnya, korbankan ego dan diri untuk parti dan bukan korbankan parti untuk diri sendiri," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan untuk memboikot kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh oleh Pemuda PAS Pulau Pinang dan PAS Kawasan Permatang Pauh sebagai tanda protes berhubung penghinaan pimpinan PKR terhadap Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut mempersoalkan konsep wala' iaitu taat kepada perkara yang tidak dipersetujui termasuk dalam isu PRK Permatang Pauh.

"PAS Pusat membuat keputusan memberi sokongan penuh untuk menyokong calon PKR di Permatang Pauh, dan itu menjadi keputusan yang wajib dipatuh, dan bukannya dengan mengeluarkan kenyataan bertentangan," katanya.

Selain itu, Tuan Ibrahim turut menggesa semua komponen dalam pakatan pembangkang supaya menghormati dasar parti masing-masing.
"
"Kita perlu jujur melihat punca reaksi yang diberikan PAS Kawasan Permatang Pauh dan Pemuda PAS Pulau Pinang secara keseluruhan dalam kontroversi di PRK Permatang Pauh.

"Kita harus ingat bahawa reaksi mereka itu ialah asap. Kita harus mencari apinya di mana? Di situlah kita harus simbah air.

"Untuk meredakan suasana, semua pihak dalam Pakatan Rakyat mesti memelihara kenyataan dan saling menghormati dasar parti masing-masing," katanya.

Tags / Kata Kunci: PKR , PAS , Tuan Ibrahim Tuan Man

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan