Perayaan Kemahkotaan Sultan Johor Berakhir - Berita Semasa | mStar

Perayaan Kemahkotaan Sultan Johor Berakhir

Diterbitkan: Selasa, 21 April 2015 10:50 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Istiadat Menurun Bendera Meletak Kerja dilakukan pada Selasa sebagai simbolik berakhirnya perayaan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, sejak bulan lepas.

Istiadat disempurnakan di Tugu Peringatan Istana Besar, di sini, mulai 9 pagi dengan disaksikan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli.

Upacara istiadat dimulakan dengan doa oleh Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Shamsudin sejurus Datuk Penghulu Istiadat Datuk Abdul Latiff Yusoff menyeru memulakan majlis.

Penurunan bendera dilakukan dengan diiringi lagu turun bendera oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor dan bendera kemudian diserahkan kepada Abdul Rahim.

Turut hadir menyaksikan istiadat itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor Datuk Noh Gadut, exco kerajaan negeri dan ketua jabatan kerajaan.

Bendera berkenaan dinaikkan sejak 16 Mac lepas menerusi Istiadat Meletak Kerja sebagai simbolik bermulanya Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim.

Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor moden diadakan pada 23 Mac lepas, di Istana Besar, di sini.

Tags / Kata Kunci: Sultan Johor , Kemahkotaan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan