MH370: Urusan Syarak Mangsa Bermula Sejak 29 Januari Lalu - Majlis Fatwa

Diterbitkan: Isnin, 20 April 2015 5:48 PM

Abd Shukor bersama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha (kiri) dan Ahli Panel Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Malaysia, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman (kanan) pada sidang media di Putrajaya, Isnin.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Ahli keluarga mangsa MH370 boleh melaksanakan urusan syarak yang melibatkan perkahwinan, mewarisi harta dan pengesahan status bagi waris sejak pengumuman berhubung tragedi pesawat itu pada 29 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Abd. Shukor Husin berkata, mangsa MH370 diisytiharkan sebagai meninggal dunia selepas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan kejadian membabitkan pesawat itu sebagai kemalangan.

"Tanggapan mati dan status kehilangan penumpang serta anak kapal MH370 ini penting bagi membolehkan ahli keluarga dan waris terdekat menguruskan soal pembahagian harta pusaka dan tempoh edah si isteri, manakala anak yang belum baligh kini boleh dianggap sebagai anak yatim," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan di ibu pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini, Isnin.

Penerbangan MH370 yang dalam perjalanan ke Beijing, China itu membawa 239 penumpang termasuk 2 orang bayi dan 12 anak kapal dan hilang pada 8 Mac 2014.

Beliau juga menjelaskan, pengumuman yang dibuat Azharuddin adalah berdasarkan tempoh masa yang digunakan untuk mencari pesawat tersebut yang mengikut hukum mafqud.

"Terdapat pelbagai pendapat ulama mengenai tempoh pencarian pesawat HM370, tetapi apa yang pasti tempoh tersebut perlu ditetapkan supaya ahli keluarga dapat menguruskan hal berkaitan syarak," kata Abd. Shukor.

Tambahnya lagi, ketetapan yang dibuat Majlis Fatwa itu bukanlah fatwa yang mengikat, tetapi sekadar memberikan pandangan hukum.




Tags / Kata Kunci: MH370 , Majlis Fatwa Kebangsaan , DCA , syarak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan