Pertabalan Sultan Nazrin Tonjol Keunikan Istiadat Kesultanan Melayu Perak

Diterbitkan: Isnin, 20 April 2015 2:35 PM

Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Raja Zara Salim bakal ditabalkan pada 6 Mei ini.

(Ubah saiz teks)

IPOH: Istiadat pertabalan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak XXXV pada 6 Mei, bakal menonjolkan keunikan dan kekayaan adat Kesultanan Melayu Perak yang diwarisi sejak tahun 1528, selepas Sultan Mudzaffar Shah I dijemput memerintah Perak.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata meskipun pelbagai aktiviti disusun, pihaknya memberi tumpuan kepada enam acara yang membabitkan adat istiadat pertabalan.

Jawatankuasa yang mengendalikannya turut berpandukan kepada adat istiadat yang berlangsung 30 tahun lepas iaitu semasa pertabalan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 1985.

"Perkara mustahak yang ditumpukan ialah Istiadat Meletak Kerja pada 3 Mei...paluan nobat akan dibunyikan bersama-sama dengan 17 das (tembakan) meriam oleh Angkatan Tentera Malaysia sebagai tanda bermulanya kerja-kerja untuk acara pertabalan," katanya dalam temu ramah baru-baru ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Abdul Puhat Nayan dan Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayop Hashim. Istiadat 'Tabal Adat' pada 6 Mei akan menyaksikan dua perkara utama iaitu pengisytiharan pertabalan DYMM Paduka Seri Sultan Perak disusuli dengan pemasyhuran gelaran DYMM Raja Permaisuri Perak.

Kedua-dua pemasyhuran itu akan dilakukan oleh Mohd Zahidi dengan melaungkan 'Daulat Tuanku' bagi Sultan Nazrin dan 'Daulat' untuk Tuanku Zara sebanyak tiga kali.

Sedikit kelainan dalam istiadat perarakan membawa al-Quran semasa 'Tabal Adat' Sultan Nazrin, ialah al-Quran itu akan dibaca terlebih dahulu, sebelum diarak dan diserahkan kepada baginda.

"Sebelum ini Tuanku ada menitahkan bahawa dalam sesuatu majlis hendaklah diadakan bacaan al-Quran, jadi dalam majlis ini, al-Quran itu akan dibaca.

"Sultan Nazrin akan memegang dan mengucupnya terlebih dahulu sebelum meletakkan kitab suci itu di tempatnya selepas diarak," katanya.

Selesai perarakan itu, akan dituruti oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja  dengan membacakan pengisytiharan pertabalan, dan menyerahkan Pedang Cura Si Manja Kini kepada Sultan Nazrin.

"Di Perak, kami tidak mempunyai mahkota dan kami menggunakan pedang ini sebagai simbolik penyerahan kuasa raja kepada Tuanku dan Tuanku akan mencabut pedang itu serta dicium sebelum Bendahara melaungkan 'Daulat Tuanku'.

"Pada masa yang sama nobat akan dipalu disertai tembakan meriam sebanyak 21 das," katanya.

Sultan Nazrin juga akan memeriksa kawalan kehormatan pada sebelah pagi di Dataran Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dengan diiringi paluan nobat dan 21 das tembakan meriam.

Acara utama ketiga akan berlangsung pada sebelah pagi 7 Mei, iaitu istiadat mengambil air dari tujuh kuala sungai yang telah dinamakan, untuk 'Adat Bersiram Tabal'.

Mohd Zahidi berkata, acara keempat, istiadat 'Tabal Pusaka', iaitu upacara penyerahan 16 alat kebesaran seperti Pedang Cura Si Manja Kini dan Geliga Embun serta nobat kepada Sultan Nazrin, akan berlangsung pada sebelah malam.

"Yang kelima ialah istiadat menziarah makam. Ini adalah satu daripada adat yang memerlukan sultan yang dilantik, selepas ditabal adat dan juga ditabal pusaka, akan menziarahi makam Almarhum sultan-sultan terdahulu," katanya.

Istiadat menziarah makam ini akan bermula pada 8 Mei yang menyaksikan Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berangkat menziarahi Makam Tok Temong di Kati, Kuala Kangsar.

"Oleh kerana pembangunan di negeri Perak, sebahagian daripada makam ini boleh diziarahi dengan menggunakan pengangkutan darat. Oleh itu, jawatankuasa mengekalkan sebahagian daripada istiadat ini untuk menggunakan rakit dikenali sebagai 'Balai Gambang', yang menyaksikan Tuanku menziarah lima makam di sepanjang Sungai Perak semasa pergerakan Balai Gambang dari Pasir Salak ke Teluk Intan," katanya.

Makam berkenaan ialah Makam Almarhum Sultan Mahmud Shah (Sultan Perak ke-16) di Kampung Pasir Pulai, Sultan Abdul Malik Mansur Shah (Sultan Perak ke-19) di Kampung Bandar Baru, Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda (Sultan ke-17) di Kampung Teluk Memali, Sultan Shahabuddin Riayat Shah (Sultan ke-21) di Tanjung Penangguh dan Sultan Iskandar Dzulkarnain (Sultan ke-15) di Pulau Indera Sakti Pasir Panjang Ulu.

Akhir sekali pada 14 Mei, Sultan Nazrin akan melawat serta menjejak kaki di 'Beting Beras Basah' yang terletak di muara Sungai Perak sementara istiadat 'Menutup Kerja' akan berlangsung pada 17 Mei.

Wanita mengandung atau yang uzur (datang haid) dinasihatkan agar tidak hadir pada istiadat Tabal Pusaka ini, yang bermula pada pukul 9 malam dan berakhir pada tengah malam.

Kaum wanita juga tidak digalakkan menyertai rombongan ke Beting Beras Basah ini, menurut Ayop.

"Acara ini hanya dilakukan oleh kaum lelaki. Ini bukan bermaksud ada diskriminasi terhadap golongan wanita, tetapi merupakan adat turun-temurun," katanya.

Terdahulu, Mohd Zahidi berkata, satu jawatankuasa induk pertabalan telah diwujudkan susulan mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159 yang bersidang pada 20 Jun 2014 dan dipengerusikan Sultan Nazrin sendiri.

"Tuanku telah menitahkan saya sebagai pengerusi jawatankuasa induk dan (Datuk Seri) Abdul Puhat sebagai pengerusi bersama manakala (Datuk) Ayop menyandang jawatan setiausaha.

"Dalam mesyuarat jawatankuasa induk, kami telah mengadakan enam mesyuarat untuk membincangkan komposisi jawatankuasa dan pelaksanaan tugas secara terperinci.

"Jawatankuasa kecil turut mengadakan mesyuarat bagi menentukan kehalusan dan ketelitian tindakan-tindakan yang perlu diambil untuk menyelaraskan acara sempena pertabalan Tuanku," kata Mohd Zahidi.-- Bernama


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan