Tony Fernandes Antara 100 Tokoh Berpengaruh Di Dunia

Diterbitkan: Jumaat, 17 April 2015 12:33 PM

Tony Fernandes

Tony Fernandes.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majalah TIME menyenaraikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes sebagai antara 100 tokoh paling berpengaruh di dunia dalam senarai tahunan TIME 100 2015.

"Penyenaraian dalam 100 tokoh terkemuka TIME itu merupakan satu penghormatan besar saya terkejut apabila menerima berita itu, namun saya bangga dan terharu," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Senarai The Time Magazine itu yang kini memasuki tahun ke-12, memperakui pencapaian serta inovasi yang dicapai oleh individu paling berpengaruh di dunia.

"Tahun ini sangat mencabar, namun cabaran dan halangan sudah sebati dengan kerjaya saya, kami belajar untuk menjadi lebih baik. Saya yakin kami melangkah ke hadapan dengan jayanya dan saya teruja terhadap masa depan," katanya.

Tahun ini, tumpuan akan diberikan ke atas perniagaan teras, bermula dengan  AirAsia, katanya dan menambah syarikat penerbangan itu komited untuk memperkukuh kedudukan terasnya dalam menyediakan produk bernilai tinggi dan meluaskan lagi rangkaian merentas ASEAN dan melepasinya.

"Harapan saya ialah segala usaha yang kami lakukan untuk AirAsia dan Tune Group akan memberi inspirasi kepada generasi usahawan ASEAN akan datang dan memacu kejayaan pemilik PKS (perusahaan kecil dan sederhana)," katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada semua pekerja dalam keseluruhan bahagian perniagaan AirAsia, Tune Group, QPR dan Caterham, atas sokongan dan kerja keras mereka.

Menerusi visi untuk mendemokrasikan perjalanan udara, Fernandes yang mengasaskan AirAsia pada 2001 bersama Kamarudin Meranun, membeli AirAsia yang ketika itu mengalami kerugian daripada pemiliknya, seorang rakyat Malaysia, dengan hanya RM1 bersama hutang berjumlah RM40 juta.

Hari ini, AirAsia merupakan syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia, memberi perkhidmatan dalam rangkaian luas dengan lebih 90 destinasi.

Sepanjang 13 tahun beroperasi, AirAsia menerbangkan lebih 280 juta pengguna dan meluaskan kumpulan pesawat daripada dua kepada lebih 190 menerusi operasi jarak dekat di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan India, serta operasi jarak jauh di Malaysia, Indonesia dan Thailand.

AirAsia dipilih sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia oleh Skytrax buat tahun keenam berturut-turut dari 2009 2014.

Tags / Kata Kunci: Tony Fernandes , AirAsia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan