Malaysia Iktiraf Kerajaan Presiden Abed Rabbo Di Yaman

Diterbitkan: Jumaat, 17 April 2015 4:31 PM

(Ubah saiz teks)

RIYADH: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan bahawa Malaysia mengiktiraf kerajaan Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi di Yaman dan menyokong usaha masyarakat antarabangsa dalam mengekalkan perpaduan dan kebebasan di negara Arab itu.

Menurut laporan agensi berita Arab Saudi (WAS), Hishammuddin berkata demikian semasa menemui Timbalan Perdana Menteri II Arab Saudi Putera Mohammed Nayef Abdul Aziz di sini pada Khamis.

Putera Mohammed Nayef juga merupakan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi dan Timbalan Putera Mahkota.

Malaysia menyokong semua tindakan kerajaan Arab Saudi dalam melindungi sempadannya serta menjaga keselamatan dan kedaulatannya, katanya merujuk kepada langkah ketenteraan yang diambil kerajaan Arab Saudi terhadap puak Houthi di Yaman.

Beliau juga menggesa semua pihak di Yaman mematuhi Resolusi 2216 Majlis Keselamatan PBB yang mendesak puak Houthi supaya menghentikan keganasan dan berundur dari wilayah-wilayah yang didudukinya selain meletakkan senjata.

Hishammuddin turut menekankan tentang perlunya melengkapkan proses politik di Yaman berdasarkan inisiatif negara-negara Teluk.

Hishammudin yang berada di Arab Saudi sejak Rabu turut berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana membantu mengeluarkan rakyat Malaysia dari Yaman.

Pada Rabu juga Hishammuddin mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Arab Saudi Putera Mohamad Salman Abdul Aziz. 

Tags / Kata Kunci: Riyadh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan