Kemuka Bukti Kontroversi 1MDB - Pemimpin Umno

Diterbitkan: Khamis, 16 April 2015 10:20 AM

Datuk Dr Puad Zarkashi

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin Umno berkata, pengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak mesti menunjukkan bukti bahawa dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah hilang.

Mengetuai saranan itu, Ahli Majlis Tertinggi  Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad harus menyediakan bukti supaya pihak berkuasa boleh menyiasat dakwaan mengenai wang yang hilang itu.

Walaupun Perdana Menteri dan Presiden Umno dikritik dalam isu ini, beliau berkata, tuntutan Dr Mahathir adalah tidak berasas.

"Sangat menghairankan apabila Dr Mahathir tidak menerima penjelasan mengenai isu ini walaupun Najib bercakap panjang lebar mengenai perkara itu.

"Jadi adalah wajar untuk beliau membuktikan dakwaannya. Saya berharap dakwaan beliau akan disokong dengan bukti kukuh dan menyerahkannya kepada Ketua Audit Negara, " kata Puad ketika dihubungi.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak mempersoalkan sama ada kritikan, termasuk oleh mereka dalam Umno dan Barisan Nasional telah menghasilkan sebarang bukti.

Salleh menggesa semua pihak untuk tidak terus membuat kesimpulan sambil berkata, siasatan masih belum siap dijalankan dan tiada angka didedahkan setakat ini.

Beliau berkata, isu 1MDB telah diletakkan di bawah perbicaraan di 'mahkamah masyarakat umum'.

Sementara itu, Tan Sri Dr Rais Yatim yang meminta supaya 'perang mulut' antara Najib dan Dr Mahathir ditamatkan berkata, tidak akan ada hasil positif terhadap konflik tersebut.

Rais, yang pernah berkhidmat dengan kedua-dua pemimpin di bawah kapasiti yang berlainan berkata, kedua-dua lelaki itu telah menyumbang kepada negara dan mempunyai gaya yang berbeza dari segi mentadbir negara ini.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin telah menulis dalam blognya bahawa keadaan semakin buruk apabila ahli perniagaan terkemuka Jho Low menuduh Umno menjadi dalang yang memutar belitkan  isu 1MDB yang menyebabkannya dianggap sebagai punca skandal.

Jho Low menuduh ini dilakukan oleh ahli-ahli  putar belit Umno.

Pada persidangan Dewan Negara semalam, Senator Datuk S. Nallakaruppan berkata, kedua-dua pemimpin harus bertemu dan bersemuka berhubung perbezaan pandangan.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan