Lencongan Lalu Lintas Di Tengah Ibu Kota Akibat Paip Pecah

Diterbitkan: Khamis, 16 April 2015 11:23 AM

syabas
(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jalan raya sepanjang 100 meter di Jalan Bukit Bintang telah ditutup kepada lalu lintas selepas paip air pecah berhampiran tapak pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) di sini, pagi Khamis.

Paip berkenaan dilaporkan pecah berhampiran Bilik Pameran Audi antara persimpangan Jalan Imbi dan Jalan Bukit Bintang kira-kira pukul 7 pagi dan sebahagian daripada jalan yang terjejas telah ditutup.

MRT Corp dalam satu kenyataan, mengesahkan kejadian itu dan berkata trafik dari Jalan Tun Razak ke arah pusat beli-belah Pavillion telah dialihkan ke Jalan Imbi di sini.

Trafik di Jalan Tun Razak masih merangkak-rangkak pada pukul 10 pagi, menurut polis trafik.

Polis trafik berkata anggotanya berada di tempat kejadian untuk mengarahkan lalu lintas, manakala MRT Corp berkata siasatan sedang dilakukan untuk menentukan apa yang menyebabkan paip itu pecah.

Ketika dihubungi, Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Priscilla Alfred berkata, paip simen asbestos 25 sentimeter telah pecah.

"Pembaikan ini dianggarkan siap kira-kira lapan jam," katanya.

Tags / Kata Kunci: paip pecah , MRT , Syabas

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan