KWSP: Naik Kadar Dividen Jika Mahu Lanjut Had Umur Pengeluaran - Berita Semasa | mStar

KWSP: Naik Kadar Dividen Jika Mahu Lanjut Had Umur Pengeluaran

Diterbitkan: Khamis, 16 April 2015 7:14 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang senator mencadangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menaikkan kadar dividen kepada pencarum jika mahu melanjutkan had umur pengeluaran simpanan kepada 60 tahun.

Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata pencarum KWSP harus mendapat pulangan lebih tinggi sekiranya mereka memilih untuk mengeluarkan simpanan mereka pada umur melebihi 55 tahun. 

"Terserah kepada mereka umur mana yang nak buat pengeluaran, umur 55 atau pun nak tunggu sampai 60 tahun, tapi (dengan) syarat perlu dapatkan tambahan dividen apabila mencapai umur 60 tahun," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, Khamis.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Gombak berkata KWSP seharusnya melakukan kajian terlebih dahulu, sebelum mencadangkan sesuatu yang menyentuh kepentingan pencarum.

Katanya had umur pengeluaran caruman KWSP yang ditetapkan pada umur 55 tahun pada masa ini, sebenarnya sudah cukup relevan.

Megat Zulkarnain berkata soal bagaimana pencarum mahu membelanjakan wang yang dikeluarkan daripada akaun KWSP itu adalah hak mereka. 

"Terserah kepada mereka sama ada mahu menghabiskan simpanan mereka dengan cepat ataupun tidak, kerana itu hak mereka. Mereka perlu tanggung risiko sendiri kerana mereka memilih untuk membelanjakannya dalam kuantiti yang banyak," katanya. 

Minggu lepas, KWSP dilaporkan sedia mempertimbangkan penyelarasan had pengeluaran simpanan kepada umur 60 tahun berbanding 55 tahun ketika ini yang mengundang reaksi negatif daripada pelbagai pihak.

Pada 7 Februari lepas, KWSP mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.75 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.  

Tags / Kata Kunci: KWSP
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan