Akta Hasutan Bukan 'Senjata' Halang Krititikkan Terhadap Kerajaan - Berita Semasa | mStar

Akta Hasutan Bukan 'Senjata' Halang Krititikkan Terhadap Kerajaan

Diterbitkan: Rabu, 15 April 2015 4:52 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengekalan Akta Hasutan bukan bertujuan untuk dijadikan 'senjata' bagi mendakwa orang ramai yang mengkritik kerajaan, termasuk berkaitan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini, menyifatkan dakwaan itu tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

"Tidak ada landasan langsung jika kita lihat (pengekalan Akta Hasutan) dengan isu CBP. Malah, pada pindaan Akta Hasutan yang baru kita luluskan di Dewan Rakyat, kita 'potong' (peruntukan) yang kerajaan tidak boleh dikritik.

"Sekarang kerajaan boleh dikritik, dulu tidak boleh," katanya mengulas kenyataan anggota Parlimen Klang, Charles Santiago semalam, yang mengkritik tindakan kerajaan mengekalkan akta itu.

Charles dalam satu portal berita pembangkang, dipetik sebagai berkata bahawa pengenalan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan pengekalan Akta Hasutan dilakukan kerana kerajaan cuba menuntut rakyat yang marah terhadap pelaksanaan CBP, agar patuh kepada mereka.

Menempelak anggota Parlimen DAP itu supaya memahami undang-undang sebelum membuat sebarang kenyataan, Wan Junaidi berkata: "Dalam pindaan Akta Hasutan yang kita bentang, kita tidak ada sebut pun soal CBP.

"(Sebaliknya)(dalam pindaan Akta Hasutan ini) kita kata (tumpu kepada) orang yang fitnah secara melulu, orang-orang yang tidak bertanggungjawab guna media sosial untuk memfitnah," katanya.

Beliau menegaskan walaupun tindakan mengkritik kerajaan tidak lagi menjadi kesalahan di bawah akta itu kelak, rakyat tidak seharusnya mengambil kesempatan melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah kepada kerajaan.

Sebaliknya, beliau berkata kritikan boleh dilakukan secara yang membina.

Pindaan Akta Hasutan dibentang dan diluluskan Dewan Rakyat minggu lepas, dan kini berada di Dewan Negara untuk proses yang sama.

Tags / Kata Kunci: Akta Hasutan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan