99 KPI Bumiputera Ditetapkan Untuk Semua Kementerian Tahun Ini

Diterbitkan: Selasa, 14 April 2015 7:49 PM

Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa (kanan) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera di Bangunan Perdana Putra pada Selasa.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Majlis Ekonomi Bumiputera memperakukan sebanyak 99 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bumiputera bagi tahun ini bagi semua 23 kementerian dan Jabatan Perdana Menteri (JPM), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata bilangan KPI tahun ini lebih rendah dari tahun sebelumnya iaitu 129 kerana kerajaan mahu melihat semua kementerian melaksanakan KPI yang berimpak tinggi, bersifat 'outcome-based' dan mempunyai sasaran lebih tinggi dari 2014.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata antara KPI bumiputera tahun ini adalah menentukan peningkatan siswazah berstatus bekerja semasa konvokesyen selain memastikan peratusan besar pelajar di institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

"KPI lain adalah lebih banyak penajaan biasiswa luar negara Program Khas Kejuruteraan Jepun, Korea, Perancis dan Jerman diberi kepada bumiputera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan pencapaian positif KPI bumiputera 2014 kementerian dan pelancaran Majlis Penasihat Industri untuk mempertingkat kapasiti dan keupayaan usahawan di sini, Selasa.

Terdahulu, Najib mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera selama kira-kira dua jam.

Perdana menteri berkata KPI bumiputera yang lain termasuk memastikan pemindahan teknologi kepada bumiputera dengan nilai kontrak sekurang-kurangnya RM200 juta dan penjanaan nilai pasaran sebanyak RM2 bilion.

Selain itu, katanya, semua kementerian dan JPM perlu memastikan peratusan besar pemilikan rumah di bawah Program Bantuan Rumah diterima oleh bumiputera dan menjual sejumlah besar rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat kepada golongan itu.

Najib berkata KPI lain yang ditetapkan adalah memastikan hampir 40 peratus daripada keluasan keseluruhan premis perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) disewakan kepada bumiputera.

"Lebih 50 peratus (kumulatif) daripada kos keseluruhan projek Mass Rapid Transit ditawarkan kepada bumiputera dan 150 francaisi bumiputera baharu diwujudkan dengan nilai perolehan sekurang-kurangnya RM48 juta," kata Najib.

Perdana menteri berkata KPI bumiputera adalah penting bagi menentukan agenda ekonomi bumiputera dilaksanakan oleh semua kementerian dan agensi kerajaan bagi menentukan pembangunan negara bersifat inklusif.

Najib berkata MEB dalam mesyuarat hari ini turut memaklumkan bahawa 18 kementerian berjaya mencapai 100 peratus bagi semua 129 KPI bumiputera yang ditetapkan tahun lalu, empat mendapat 80 peratus, manakala satu lagi kementerian gagal mencapai sasaran.

Beliau berkata antara pencapaian utama bagi KPI bumiputera tahun lalu adalah menerusi penyediaan dana khas pembangunan keusahawanan dan perniagaan serta program latihan pekerja berpengetahuan (K-workers).

"Pencapaian utama juga dapat dilihat menerusi usaha naik taraf kedai runcit melalui program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) serta pelaksanaan dasar 'carve out' (pemberian kontrak kepada syarikat bumiputera) bagi projek Mass Rapid Transit," kata Najib.

Perdana menteri berkata pembangunan usahawan bumiputera tidak boleh dicapai dengan hanya modal kewangan semata-mata, sebaliknya usahawan juga perlu memiliki modal diri, modal ilmu, modal kemahiran dan modal sosial.

Katanya Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) selaku pusat kecemerlangan keusahawanan telah menubuhkan Majlis Penasihat Industri agar usahawan berjaya dapat berkongsi pengetahuan industri serta perniagaan dengan para usahawan lain.

Najib memaklumkan bahawa anggota Majlis Penasihat Industri terdiri daripada usahawan Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) yang berjaya dalam sektor masing-masing.

"Sebagai pembimbing industri, mereka akan membantu mengukuhkan arah tuju dan kerangka keusahawanan INSKEN," katanya.

Perdana menteri berkata INSKEN juga akan menjalin kerjasama dengan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC); Universiti Tun Abdul Razak dan Taman Teknologi Malaysia bagi meningkatkan kapasiti serta keupayaan bumiputera dalam keusahawanan.

"Dengan ini, sudah pasti usahawan bumiputera dapat mencapai tahap daya saing yang mapan dan seterusnya dinilai berasaskan merit, di pasaran terbuka," kata perdana menteri.

Tags / Kata Kunci: Najib Tun Razak , KPI Bumiputera

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan