Dewan Negara Perak Tegur Adun Pembangkang Berpakaian Hitam

Diterbitkan: Isnin, 13 April 2015 7:52 AM

Adun pakatan pembangkang berpakaian serba hitam pada majlis perasmian persidangan DUN Perak pada 30 Mac lalu.

(Ubah saiz teks)

IPOH: Dewan Negara Perak menegur tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu yang berpakaian serba hitam semasa perasmian Mesyuarat Pertama  Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-13 pada 31 Mac lalu.

Teguran itu merupakan satu daripada tiga ketetapan yang diputuskan dalam mesyuarat dewan ke-163 yang dipengerusikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada Sabtu.

"Kami menegur beberapa Adun kerana tidak menghormati etika berpakaian dan tidak memakai pakaian istiadat penuh.

"Kami ingin mengingatkan bahawa tindakan segelintir Adun bukan sahaja melanggar adat malah mencerminkan sikap tidak beradab mereka terhadap dewan," menurut kenyataan yang ditandatangani Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Ayop Hashim.

Kenyataan tersebut dikeluarkan dari pejabat Sultan Perak pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, Ahli-Ahli Dewan Negara mengingatkan bahawa di negeri Perak, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan telah berkenan setiap tahun menetapkan dua acara yang dikategorikan istimewa dan dimuliakan sebagai hari penuh istiadat yang dirujuk sebagai 'Hari Kalung'.

"Pertama, istiadat sambutan ulang tahun keputeraan Raja Pemerintah yang istiadatnya dilangsungkan dalam Balairung Seri Istana Iskandariah dan kedua, istiadat perasmian persidangan DUN yang dilangsungkan dalam ruang Dewan Negeri," katanya.

Dewan Negara Perak atau Kongres Diraja adalah sebuah badan yang membantu dan menasihati Sultan dalam menjalankan tugas baginda.

Ia tidak berkaitan dengan Dewan Negara, dewan tertinggi Parlimen Malaysia.

Pada majlis perasmian persidangan DUN pada 30 Mac lalu, seramai 26 wakil rakyat pakatan pembangkang memakai sut, gaun dan baju Melayu serba hitam sebagai tanda protes terhadap beberapa isu.

Isu tersebut termasuk hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan penahanan beberapa pemimpin pembangkang semasa perhimpunan #KitaLawan.

Sultan Nazrin yang merasmikan persidangan tersebut buat pertama kalinya sebagai Sultan Perak meninggalkan majlis itu tanpa mengambil gambar bersama dengan Adun negeri berkenaan.

Dewan Negara Perak juga menegaskan Sultan Nazrin harus mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa sahaja yang tidak mengikut atau menunjukkan sikap tidak hormat terhadap mana-mana majlis adat rasmi pada masa hadapan.

Menurut kenyataan itu lagi, resolusi tersebut akan dikemukakan secara rasmi kepada kerajaan negeri.

 

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan