Tanggungjawab Mukhriz Pastikan Umno Kedah Tidak Berpecah - Hishammuddin

Diterbitkan: Isnin, 13 April 2015 4:39 PM

Mukhriz didakwa tidak menyokong Najib secara terbuka.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bertanggungjawab untuk memastikan Umno di negeri itu tidak berpecah, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Isnin.

"Itu untuk diuruskan beliau kerana menjadi tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar untuk memastikan Umno Kedah tidak berpecah.

"Sekiranya berlaku perpecahan di Kedah, maka ia mencerminkan kepimpinannya di negeri itu. Kita semua mempunyai tanggungjawab kita sendiri," kata Naib Presiden Umno itu kepada pemberita di sini.

Mukhriz dikritik kerana gagal menyatakan sokongan secara mutlak terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang diserang bapa beliau yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin berkata Mukhriz juga mungkin meletak jawatan sekiranya beliau tidak menyatakan sokongan secara terbuka kepada Perdana Menteri.

Hishammuddin turut menafikan berlaku perpecahan di dalam parti disebabkan kritikan secara terbuka Dr Mahathir.

"Tidak, saya tidak fikir begitu. Sekiranya parti sudah berpecah maka siapa yang akan memastikan negara tidak berpecah. Anda lihat apa yang berlaku di Timur Tengah, anda beritahu saya bahawa keadaan kita lebih teruk daripada itu," katanya ketika ditanya sekiranya berlaku perpecahan Umno berikutan kritikan tersebut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan