Siasatan, Khidmat Kaunter Antara Aduan Paling Kerap Diterima PDRM

Diterbitkan: Isnin, 13 April 2015 12:00 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Aspek penyiasatan dan perkhidmatan kaunter Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan aduan paling kerap diterima daripada orang awam, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zubaidah Md. Ismail.

Beliau berkata, jabatan itu menerima lebih 2,000 aduan setahun, dengan purata antara 200 hingga 300 aduan sebulan.

"Aduan ini menunjukkan masalah integriti hanya berlaku pada 10 peratus daripada keseluruhan jumlah angggota dan dua aspek yang dinyatakan adalah aduan yang paling kerap diterima.

"Manakala bagi aduan berkaitan rasuah, ia tidak banyak dilaporkan, iaitu pada 0.02 peratus sahaja, berbanding dengan persepsi masyarakat terhadap pihak berkuasa ini," katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Jaring Piala Ketua Polis Negara di sini, Ahad.

Zubaidah berkata, JIPS mempunyai lebih 20 saluran untuk orang ramai menyalurkan aduan termasuk menerusi media sosial dan talian hotline.

Katanya, pihaknya menjangkakan keyakinan masyarakat terhadap PDRM akan meningkat susulan langkah proaktif yang diambil untuk menyelesaikan aduan berkenaan.

Pada kejohanan itu, kontinjen Selangor mengekalkan kejuaraan buat kali ke-11 berturut-turut dengan kontinjen Bukit Aman muncul naib johan dan  Negeri Sembilan di tempat ketiga, manakala tuan rumah Pahang sekadar di tempat keempat. -- Bernama


Tags / Kata Kunci: PDRM , Zubaidah Md Ismail , Bukit Aman , JIPS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan