Jackie Chan Minat Hasilkan Filem Cinta Di Sarawak

Diterbitkan: Ahad, 12 April 2015 8:23 AM

Jackie Chan (kiri) sewaktu sesi bertemu peminat di Kuching, Sabtu.

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Bintang filem megastar Asia, Datuk Jackie Chan terbukti seorang bersifat lemah lembut bila beliau melahirkan hasrat untuk menghasilkan filem cinta di Sarawak. 

"Sarawak sangat indah. Sungai (Sungai Sarawak) juga sangat menarik. Saya amat suka untuk menghasilkan sebuah filem bertemakan cinta di Sarawak," kata beliau pada sidang media di sini, Sabtu.

Jackie sejak dahulu lagi dikenali di kalangan peminatnya dengan aksi kungfu yang hebat, telatah lucu dan melakukan adegan stunt berani mati dan perwatakan cekal.

Beliau berada di sini untuk menghadiri malam gala Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) kedua di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

"Jika saya tidak melakukan penggambaran filem mengenai kisah cinta, maka filem itu berkisar mengenai aksi pergaduhan, kejar-mengejar sana sini dan letupan," katanya.

Sementara itu, Jackie, yang baru menyambut hari jadinya yang ke-61 awal bulan ini berkata, beliau telah menyiapkan empat buah filem di Malaysia. 

"Saya perlu berhati-hati apabila melakukan penggambaran filem di Malaysia. Apabila saya mula-mula menghasilkan film SuperCop, saya hampir memusnahkan keseluruhan pinggir Kuala Lumpur. 

"Kesesakan lalu lintas berlaku setiap hari apabila orang ramai berhenti untuk menyaksikan saya melakukan adegan bergayut dari helikopter dan aksi terbang di sekitar bandar," katanya sambil berjenaka. 

Mengenai filem "Dragon Blade" yang baru ditayangkan, Jackie berkata beliau membelanjakan AS$60 juta untuk menghasilkan filem itu yang berkisar tentang perpaduan, keamanan dan keharmonian. 

"Saya selaku penerbit dan juga Duta. Sebagai penerbit, pengarah dan bintang filem, kita semua mempunyai tanggungjawab yang sama untuk menjadikan masyarakat komuniti dan dunia lebih baik, bersatu dan aman," kata Jackie. 

Mengenai kehadirannya di acara antarabangsa, Jackie berkata beliau berada di sini untuk menyokong AIFFA. 

"Saya juga berada di sini atas jemputan kerajaan negeri," katanya setelah terpaksa membatalkan kunjungannya ke Dubai dan Korea untuk melawat negeri ini. 

Semasa berada di Kuching, beliau telah melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud. 

Tags / Kata Kunci: Jackie Chan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan