Kerajaan Sedia RM759 Juta Bantu Usahawan, Petani Terjejas Banjir - TPM

Diterbitkan: Sabtu, 11 April 2015 7:30 PM

Muhyidin mengadakan tinjauan ke tapak pembinaan rumah kekal mangsa banjir di Kampung Kusial sempena lawatan kerja sehari ke Kelantan pada Sabtu.
 -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

TANAH MERAH: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM759 juta bagi membantu usahawan kecil dan sederhana serta petani memulihkan kembali sumber ekonomi mereka yang terjejas banjir akhir tahun lepas, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata peruntukan itu disalurkan menerusi beberapa kementerian antaranya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Kami salurkan menerusi beberapa agensi bertanggungjawab seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) dan Bank Negara.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM8.97 juta diperuntukkan khusus kepada usahawan kecil dan sederhana serta petani di Kelantan," katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Bantuan Pemulihan Ekonomi Mangsa Banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah I di sini, Sabtu.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan anggota Parlimen Tanah Merah merangkap Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abd Aziz.

Muhyiddin berkata walaupun kerajaan negeri Kelantan dipimpin oleh pembangkang, kerajaan Persekutuan tidak sesekali menganaktirikan negeri itu, malah duduk semeja dengan pemimpin negeri bagi memulihkan kembali kehidupan mangsa banjir di Kelantan.

"Atas dasar kemanusiaan, kami ketepikan perbezaan politik, malah kami duduk bersama dalam jawatankuasa (banjir). Kalau kami tak lakukan begitu, ada pihak akan kata ia semua bertujuan politik.

"Bila UMNO tolong, kata ada (tujuan politik), bila PAS tolong, juga akan ada yang kata bertujuan politik. Jadi kami duduk semeja, orang nak cakap ia bertujuan politik pun tak apalah," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata kerajaan  turut memperuntukkan RM20 juta dalam bentuk geran kepada mana-mana penyelidik Universiti Awam (UA) dan Universiti Swasta yang berminat mengkaji faktor kenapa berlakunya banjir besar di Kelantan.

"Ada yang kata sebab penebangan balak yang berlebihan sehingga menyebabkan hakisan muka bumi, tiada perancangan teliti, sungai tak dipelihara dan sebagainya.

"Kami (kerajaan) dah mulakan langkah ini (kajian). Mana-mana universiti yang berminat untuk membuat kajian, wujudkan pasukan penyelidik dan mohon geran dengan Kementerian Pendidikan, dan hasilnya bentang kepada saya untuk tindakan lanjut," katanya.
Tags / Kata Kunci: peruntukan , banjir , usahawan , Kelantan

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan